Ekspo TVET platform masa depan

Iklan
Pengunjung Ekspo TVET@KKDW 2025 akan disajikan dengan pertunjukan hands-on termasuk robotik. Gambar kecil: Muhd Khair

Lebih 300,000 pengunjung dijangka berhimpun di Ipoh Convention Centre

Ekspo TVET@KKDW 2025 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober ini dijangka menjadi penganjuran terbesar apabila lebih 300,000 pengunjung disasarkan menghadirinya secara fizikal dan maya.

Acara tahunan berprestij anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu diadakan di Ipoh Convention Centre (ICC), Perak dengan bertemakan ‘TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi’.

Iklan
Iklan

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, ekspo itu merupakan platform penting dalam merealisasikan Dasar TVET Negara 2030 yang berhasrat mengarusperdanakan pendidikan dan latihan teknikal sebagai pilihan utama kerjaya.

"Ekspo TVET@KKDW bukan sekadar acara pameran tetapi wahana pemerkasaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan masa depan generasi muda. Laluan ini berprestij dan setanding dengan pendidikan akademik," katanya kepada Sinar Bestari.

Iklan

Tarikan dan pengisian

Edisi ketujuh ini menghimpunkan lapan agensi utama di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), bersama lebih 14 institusi TVET seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), GiatMara, Kolej Risda, UCAM serta kolej-kolej wilayah lain.

Iklan

Pengunjung bakal disajikan dengan pameran, demonstrasi hands-on, pertunjukan fesyen, sesi pengambilan terbuka serta pelbagai pertandingan kemahiran seperti fesyen, dron, Robattle, e-sukan dan filem pendek kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, ruang Teknousahawan pula mengetengahkan program pitching bisnes, pemadanan perniagaan, gerai jualan usahawan serta penstriman langsung usahawan muda.

Bagi golongan pelajar sekolah dan belia pula, inisiatif seperti TVET Junior, TVET Cilik dan TVET GIG diperkenalkan untuk memberikan pendedahan awal dunia kemahiran.

Impak generasi muda

Majlis perasmian Ekspo TVET@KKDW 2025 akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Oktober, manakala majlis penutupan pula oleh Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang pada 12 Oktober.

Muhd Khair Razman berkata, keterlibatan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekspo ini mampu memberikan nilai tambah besar kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran belia tempatan.

"Kita mahu masyarakat melihat TVET bukan lagi sebagai pilihan kedua tetapi sebagai laluan utama yang mampu melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan inovatif, sesuai dengan keperluan industri masa depan," jelas beliau.

Ekspo ini juga dijangka menyumbang kepada sasaran peningkatan 10 peratus pengambilan pelajar di institusi TVET KKDW menjelang 2026, di samping memperkukuh imej TVET sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi luar bandar.

Penganjuran ini turut menampilkan kerjasama rakan strategik industri melalui pameran, webinar, Wall of Fame, sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) serta peluang kerjaya menerusi platform MyFutureJobs.

Dengan pelbagai aktiviti interaktif, pertandingan dan peluang masa depan yang ditawarkan, Ekspo TVET@KKDW 2025 diyakini akan terus menjadi landasan penting mengarusperdanakan pendidikan kemahiran di negara ini.

"KKDW berkomitmen memastikan TVET diperkasa sebagai pilihan utama pendidikan dan kerjaya. Ekspo ini adalah bukti nyata usaha tersebut," ujar Muhd Khair Razman.

Ekspo TVET@KKDW 2025 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Oktober ini.

Orang ramai dijemput hadir dan merasai sendiri pengalaman dunia kemahiran, inovasi dan teknologi yang bakal membentuk masa depan negara.