UiTM raih 4 anugerah utama di Andong Mask Dance Festival 2025

Iklan
Kejayaan ini membuktikan keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) berjaya meraih empat anugerah utama di Andong Mask Dance Festival 2025 di Andong City, Korea Selatan.

Malaysia yang diwakili oleh UiTM melalui INSAN, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) serta Anak Seni Legasi Mandala (ALAM), membawa pulang pencapaian membanggakan apabila menggondol Anugerah Emas (₩2,000,000) dan Anugerah Khas Juri (₩200,000) bagi Kategori Kumpulan Antarabangsa serta Anugerah Gangsa (₩300,000) dan Anugerah Khas Juri (₩150,000) bagi Kategori Individu.

Iklan
Iklan

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Ts Dr Norazah Abd Rahman, kejayaan itu membuktikan keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.

"INSAN dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah mengangkat seni budaya Malaysia sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan akademia, masyarakat dan dunia," katanya dalam satu kenyataan media.

Iklan

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin pula menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti sinergi antara universiti, industri kreatif dan komuniti seni.

"Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh imej Malaysia di mata dunia.

Iklan

"UiTM amat berbangga kerana kejayaan berkenaan bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan kekuatan bakat dan kreativiti anak bangsa," ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, UiTM memaklumkan yang mereka percaya bahawa kejayaan ini bukan hanya pengiktirafan terhadap kecemerlangan seni persembahan, tetapi juga memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan budaya dan kreativiti negara di peringkat global.

"INSAN UiTM akan terus memainkan peranan penting dalam memperluas pengaruh seni kreatif Nusantara ke pentas antarabangsa, seiring aspirasi UiTM untuk menjadi Universiti Unggul Dunia 2025," kongsi kenyataan itu.

Terdahulu, pertandingan tahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober lalu menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada 30 negara, menjadikannya antara festival budaya antarabangsa paling berprestij di rantau Asia.

Penganjurannya merupakan usaha bersama Kerajaan Bandar Andong, Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan serta Andong Mask Dance Festival Foundation dengan kerjasama International Mask Arts & Culture Organization (IMACO).

Sejak tahun 1997, Andong telah diiktiraf UNESCO sebagai pusat utama seni topeng dunia.

Delegasi UiTM diketuai oleh Pengarah INSAN UiTM, Profesor Dr Mohd Kipli Abdul Rahman bersama Ahli Bersekutu INSAN/Penerbit Artistik/FiTA, Amandus Paul Panan dan Ahli Bersekutu INSAN/Pengarah Persembahan/FiTA UiTM, Khairul Anuar Zainudin.

Kolaborasi ini turut disertai Anak Seni Production, Legasi Terindah, Seri Mandala, Centre Stage Vision Dynamic dengan Tourism Malaysia sebagai penaja bahan promosi dan BilBerkarya Production sebagai penaja rasmi.

Selain kejayaan pertandingan, delegasi UiTM turut menandatangani tiga Surat Hasrat Kolaborasi (Letter of Intent - LOI) bersama institusi seni dan budaya antarabangsa.

Mereka turut mengadakan perbincangan awal dengan delegasi dari Korea, Turki, Jepun dan Filipina bagi potensi kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan inisiatif budaya di masa hadapan.