
Penerima Anugerah Naib Canselor & Pelajar Terbaik (Program) UiTM kini juruterbang MAS! Contoh anak muda luar biasa
Masihkah anda ingat detik getir pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu yang menyaksikan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan terpaksa mengubah haluan hidup?
Kepahitan itu turut dirasai oleh seorang anak muda, Ameer Farhan Ahmad Fuad, 25, yang ketika itu baru menamatkan latihan sebagai juruterbang Malaysia Airlines (MAS).
Disebabkan penangguhan pengambilan juruterbang baharu oleh syarikat penerbangan, anak muda ini tidak berpeluk tubuh.
Sebaliknya, dia memanfaatkan peluang dengan menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.
Menurutnya, keputusan untuk kembali belajar ini pada mulanya agak mencabar, tetapi dia yakin ilmu tambahan yang diperoleh akan membantu dirinya kelak.
Selepas tiga tahun menimba pengetahuan, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang apabila merangkul Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Pelajar Terbaik (Program) dari UiTM.

"Alhamdulillah, anugerah diraih menjadi pemangkin semangat untuk saya meneruskan kerjaya.
"Insya-ALLAH, segala pengalaman dan pembelajaran di universiti akan membantu diri dalam bidang penerbangan,” katanya yang kini kembali berkhidmat bersama MAS sejak September 2024 dengan membawa pengalaman serta ilmu baharu yang diperoleh sepanjang pengajian.
Akhir sekali, graduan UiTM ini menitipkan pesanan buat semua pelajar agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.
"Kunci kejayaan terletak pada usaha berterusan, pengurusan diri yang baik dan keyakinan bahawa setiap cabaran mampu diatasi dengan fikiran positif," pesannya.