Apa yang ditonton mereka, itulah dilakukan: Renungan dari sudut neurosains & pendidikan visual

Iklan
Gambar kecil: Dr Muhamad Hafiz (atas) dan Dr Fatin Haniza (bawah) berkongsi pandangan mengenai situasi yang berlaku dalam kalangan generasi muda masa kini. Foto: Canva.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia digemparkan dengan berita yang mengejutkan.

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut dipercayai dibunuh oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor.

Iklan
Iklan

Belum reda isu ini, kita masih mengingati kes Zara Qairina Mahathir yang disyaki menjadi mangsa buli serta laporan demi laporan mengenai kes-kes jenayah seksual yang berlaku dalam lingkungan kawasan sekolah.

Sebagai pendidik dan penyelidik, kami tertanya-tanya: Apakah yang sedang berlaku kepada generasi muda kita?

Iklan

Bayangan Zulfarhan: Pengajaran yang belum diambil

Sepatutnya kita sudah belajar. Pada Jun 2017, negara kehilangan Zulfarhan Osman Zulkarnain, seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang maut akibat kecederaan parah hasil tindakan buli oleh rakan-rakannya sendiri.

Iklan

Enam pelajar didapati bersalah membunuh manakala 12 yang lain bersalah kerana menyebabkan kecederaan. Kes ini bukan sekadar tragedi, ia adalah cermin kepada budaya keganasan yang telah tertanam dalam kalangan belia kita.

Tetapi setelah lapan tahun berlalu, kita masih menyaksikan pola yang sama berulang. Kali ini melibatkan pelajar yang lebih muda, di sekolah menengah biasa, bukan institusi ketenteraan.

Mengapa pengajaran daripada Zulfarhan tidak mengubah apa-apa?

Foto: AI

Dari skrin berlindung kepada skrin tanpa sempadan

Untuk memahami perubahan drastik dalam tingkah laku remaja, kita perlu melihat perubahan dalam persekitaran media mereka.

Bagi yang membesar pada era 1980-an hingga awal 2000-an, kandungan televisyen dikawal dengan ketat. Rancangan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak diberi label jelas seperti 18SX, 18SG atau 18PL.

Adegan keganasan akan disensor, bahasa kesat akan dipotong dan kandungan seksual langsung tidak disiarkan. Filem-filem yang ditayangkan di pawagam pun melalui proses tapisan yang teliti oleh Lembaga Penapisan Filem.

Kita tahu apa yang anak-anak kita tonton kerana ia terhad kepada beberapa saluran televisyen dan pawagam yang boleh dipantau.

Bandingkan dengan hari ini. Dengan sebuah telefon pintar, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun boleh mengakses YouTube di mana algoritma mencadangkan kandungan yang semakin melampau untuk mengekalkan perhatian.

Bermula dengan permainan video, dalam masa sejam mereka boleh terjumpa video keganasan sebenar. Platform streaming seperti Netflix tiada had fizikal yang menghalang kanak-kanak daripada menonton kandungan dewasa.

TikTok penuh dengan cabaran berbahaya dan algoritma For You Page direka untuk ketagihan, bukan perkembangan sihat.

Yang paling membimbangkan adalah Telegram dan aplikasi messaging lain yang mempunyai saluran tidak terkawal di mana segala jenis kandungan, daripada pornografi kepada video keganasan sebenar, dikongsi tanpa sebarang tapisan.

Tapisan yang dahulunya menjadi benteng perlindungan kini hampir tidak wujud. Apa yang berubah bukan sahaja teknologi, tetapi kuasa ibu bapa dan masyarakat untuk memantau dan membimbing.

Foto: Canva

Otak yang merakam setiap imej

Dari sudut neurosains, otak manusia tidak sekadar 'melihat' sesuatu. Otak sebenarnya belajar daripada apa yang dilihat.

Setiap pengalaman meninggalkan jejak biologi dalam otak yang dikenali sebagai engram iaitu rangkaian neuron yang aktif apabila kita melihat, mendengar atau merasai sesuatu yang memberi kesan emosi.

Apabila seorang kanak-kanak menonton kandungan yang tidak sesuai, contohnya adegan buli, ganas atau seksual, otak mereka bertindak balas seolah-olah kejadian itu sedang berlaku kepada diri mereka sendiri.

Hippocampus menyimpan maklumat tentang apa yang berlaku manakala nucleus accumbens melepaskan dopamina yang menimbulkan rasa seronok. Namun, prefrontal cortex yang bertanggungjawab untuk menilai dan mengawal tindakan masih belum matang pada usia kanak-kanak dan remaja.

Inilah perbezaan penting antara generasi dahulu dan sekarang. Dahulu, walaupun kanak-kanak mungkin terdedah kepada kandungan negatif, ia terhad dan jarang. Hari ini, seorang remaja boleh menonton puluhan video keganasan dalam sehari melalui algoritma media sosial.

Setiap paparan ini mengukuhkan engram dan menjadikan tingkah laku ganas sebagai sesuatu yang normal dalam persepsi mereka.

Foto: Canva

Kuasa visual: 60,000 kali lebih pantas

Daripada pengalaman lebih sedekad dalam bidang pendidikan seni visual dan reka bentuk, kami melihat bagaimana medium visual mempunyai kuasa yang luar biasa dalam mempengaruhi tingkah laku.

Penyelidikan dalam bidang visual-spatial menunjukkan bahawa manusia memproses maklumat visual 60,000 kali lebih pantas berbanding teks. Inilah sebabnya iklan, poster dan video mempunyai kesan yang mendalam, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang otak mereka masih dalam proses pembentukan.

Setiap imej yang dilihat oleh kanak-kanak adalah rangsangan yang memicu respons emosi, membentuk persepsi dan akhirnya mempengaruhi tindakan.

Apabila seorang remaja menonton video keganasan secara berulang-ulang, otak mereka mula menormalkan tingkah laku tersebut. Apa yang dahulunya dianggap mengejutkan, lama-kelamaan menjadi biasa. Apa yang dahulunya tidak boleh dibayangkan, kini menjadi sesuatu yang 'boleh dicuba'. 

Otak anak-anak menyimpan pengalaman tersebut sebagai ingatan emosi yang kuat, tanpa penilaian moral yang matang. Apabila pendedahan ini berlaku berulang kali, sambungan neuron menjadi semakin kukuh. Ia membentuk 'manual tingkah laku' yang berbahaya.

Dalam kes Zulfarhan, penyiasatan mendedahkan bahawa budaya buli telah lama wujud dalam institusi tersebut. Tetapi bagaimana budaya ini terbentuk?

Salah satu faktor adalah pendedahan kepada budaya kekerasan yang dinormalisasikan. Sama ada melalui filem, permainan video atau kisah-kisah yang dipandang 'heroik' dalam kalangan rakan sebaya.

Apabila keganasan dilihat sebagai cara untuk menunjukkan kuasa atau untuk 'mendidik' junior, ia adalah tanda bahawa otak mereka telah terbentuk untuk menerima keganasan sebagai sesuatu yang boleh diterima.

Foto: Canva

Algoritma yang membunuh empati

Perkara yang paling membimbangkan ialah algoritma platform digital direka untuk mengekalkan perhatian penonton selama mungkin, bukan untuk kesejahteraan mereka.

Jika seorang remaja menonton satu video pergaduhan di sekolah, algoritma akan mencadangkan lebih banyak video seumpamanya. Jika mereka menonton kandungan yang berunsur seksual sekali, mereka akan dibanjiri dengan cadangan yang lebih eksplisit.

Ini bukan kebetulan. Ini adalah reka bentuk yang disengajakan untuk meningkatkan engagement dan masa skrin.

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi ibu bapa hari ini adalah jurang pemahaman tentang dunia digital.

Ramai ibu bapa yang membesar pada era televisyen berpenapisan tidak memahami sepenuhnya ancaman yang wujud dalam telefon pintar anak mereka. Mereka mungkin fikir: 'Anak saya hanya tengok YouTube sahaja, apa salahnya?' 

Yang mereka tidak tahu ialah wujudnya Rabbit Hole Effect di mana algoritma YouTube boleh membawa anak mereka daripada video permainan kanak-kanak kepada kandungan ekstrem dalam masa sejam.

Kesannya adalah kumulatif. Satu video mungkin tidak mengubah apa-apa, tetapi beratus video yang ditonton setiap hari selama berbulan atau bertahun membentuk cara anak kita berfikir, merasai dan bertindak.

Foto: Canva

Menapis pengalaman visual: Tanggungjawab bersama

Namun, ada berita baik. Otak manusia bersifat plastik bermakna ia boleh berubah dan membentuk semula sambungan neuron.

Pengalaman positif seperti membaca kisah yang memberi nilai moral, berinteraksi dengan keluarga, melakukan aktiviti seni, berhubung dengan alam, serta mendapat bimbingan agama, semuanya membantu membina engram yang sihat.

Inilah asas kepada pembentukan empati, kawalan emosi dan daya tahan diri.

Sebagai pendidik, ibu bapa dan masyarakat, tanggungjawab kita ialah menjadi penapis pengalaman visual anak-anak. Kita perlu memantau dan membimbing secara aktif. Ketahui apa yang anak-anak tonton dan jangan serahkan telefon atau tablet tanpa pengawasan.

Gunakan parental controls dan aplikasi pemantauan yang sesuai, serta letakkan had masa skrin yang jelas.

Sediakan tech-free zones dan tech-free times dalam rumah, contohnya tiada gajet di meja makan atau di bilik tidur.

Sediakan alternatif positif. Galakkan mereka menghasilkan karya seni, menonton dokumentari yang membina atau melibatkan diri dalam aktiviti kreatif. Sediakan juga buku, kit seni, alat muzik atau peralatan sukan sebagai alternatif kepada skrin.

Ajar mereka literasi visual dan digital. Jelaskan bahawa algoritma direka untuk menarik perhatian mereka, bukan untuk kesejahteraan mereka. Bantu mereka memahami perbezaan antara kandungan yang membina dan kandungan yang memudaratkan.

Memperkukuh nilai murni melalui pelbagai medium juga tidak boleh diabaikan.

Bawa mereka ke muzium, galeri seni, persembahan teater atau majlis keagamaan yang membina rohani dan nilai. Bincangkan kes-kes seperti Zulfarhan. Gunakan ia sebagai pengajaran tentang akibat keganasan dan pentingnya menghormati kehidupan.

Sekolah perlu mempunyai program literasi digital yang mengajar murid tentang bahaya kandungan tidak ditapis.

Foto: Canva

Komuniti perlu bekerjasama. Melindungi anak-anak daripada bahaya digital bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja, tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat.

Akhir sekali, kita perlu mendesak kepada dasar dan perundangan yang lebih ketat. Kerajaan dan badan pengawal selia perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap platform yang tidak melindungi kanak-kanak.

Perlu ada penalti yang berat untuk platform yang gagal menapis kandungan berbahaya. Sistem penapisan yang wujud pada era televisyen perlu disesuaikan untuk era digital. Ini memerlukan kerjasama antarabangsa kerana platform ini merentasi sempadan.

Renungan akhir: Ambil iktibar

Lapan tahun telah berlalu sejak Zulfarhan meninggal dunia. Sepatutnya kita belajar, berubah dan memastikan tiada lagi nyawa muda yang hilang akibat keganasan.

Namun, apa yang kita lihat hari ini menunjukkan kita masih belum belajar. Kes-kes yang melanda negara kita baru-baru ini adalah peringatan bahawa kita tidak boleh lagi mengambil mudah tentang apa yang anak-anak kita tonton.

Perbezaan antara era televisyen berpenapisan dan era digital tanpa sempadan adalah seperti perbezaan antara memberi anak kita sebuah buku yang telah dipilih dengan teliti dan membiarkan mereka bebas melawat perpustakaan yang dipenuhi dengan segala jenis bahan.

Yang baik dan yang jahat, yang membina dan yang memusnahkan, semuanya tanpa bimbingan.

Maka sebelum kita menyerahkan gajet atau membuka skrin seterusnya, marilah kita renungkan: Apa yang anak-anak lihat, itulah yang diingat oleh otak mereka. Apa yang mereka ingat, itulah yang akan mereka lakukan.

Kita telah kehilangan Zulfarhan dan Zara Qairina. Minggu ini digemparkan kehilangan nyawa seorang pelajar di Petaling Jaya. 

Kita telah kehilangan terlalu ramai nyawa muda. Berapa ramai lagi sebelum kita benar-benar bertindak? Lindungi mereka daripada tsunami kandungan digital yang boleh memusnahkan jiwa mereka.

Masa depan generasi kita bergantung kepada pilihan visual yang kita buat hari ini dan tindakan yang kita ambil esok.

Jangan biarkan Zulfarhan dan mangsa-mangsa lain mati dengan sia-sia. Biarlah tragedi mereka menjadi titik perubahan yang sebenar dalam cara kita melindungi dan membimbing anak-anak kita di era digital ini.

Maklumat penulis:

1) Pensyarah Reka Bentuk Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Dr Muhamad Hafiz Hassan. Beliau berkepakaran dalam pendidikan seni visual, reka bentuk untuk pendidikan inklusif dan visual-spatial learning. Juga telah menghasilkan banyak publikasi berkaitan pengaruh visual terhadap pembelajaran dan tingkah laku.

2) Penyelidik dalam bidang neurosains, UiTM, Dr Fatin Haniza Zakaria. Berjaya menerbitkan artikel mengenai kesan dadah terhadap otak (kajian praklinikal) dan ulasan saintifik tentang potensi madu kelulut dalam mempengaruhi fungsi otak berkaitan kemurungan.

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my