Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2025 di Panggung Eksperimen Aswara pada Khamis.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu dimulakan dengan sesi Forum Dekad Bahasa Kebangsaan bertajuk 'Seni, Budaya dan Bahasa'.
Antara panel jemputan yang hadir ialah Sasterawan Negara ke-15, Datuk Dr Rahman Shaari serta pasangan pempengaruh media sosial terkenal, Maryam Your Narae dan Ryzal Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Durian Kimchi.
Sesi forum itu dikendalikan oleh Kai Hassan, penyampai radio terkemuka yang juga merupakan alumni Aswara.
Dalam sesi tersebut, perbincangan meliputi aspek memartabatkan bahasa Melayu dan kesantunan berbahasa dalam era digital dan kecerdasan buatan.
Hal yang turut dibincangkan adalah peranan pengkarya kreatif dan pencipta kandungan dalam memanfaatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Aswara sentiasa mengutamakan bahasa Melayu dalam pengkaryaan kreatif pelbagai bidang seni termasuklah penulisan skrip, penghasilan filem dan animasi, pementasan teater serta tari atau pameran seni visual dalam kalangan pelajar mahupun pensyarah.
Seterusnya, program dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik seperti Pentas Puisi dari penggiat sastera seni, Sketsa Drama Pentas (pelajar Fakulti Teater) dan persembahan nyanyian (pelajar Fakulti Muzik).
Barisan tokoh dan penggiat kesusasteraan yang hadir memeriahkan Pentas Puisi terdiri daripada Dr Anwar, Datuk Dr Rahman Shaari, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr Balkis Omar, Shukri Abdullah, Fazleena Hishamuddin, Pungguk F.Z dan Zulaela Irwan.
Terdahulu, majlis perasmian DBK 2025 telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Dalam ucapannya, beliau menekankan komitmen Aswara dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penerbitan pelbagai karya bermutu tinggi yang seiring dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021).
Turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan ialah Rektor Aswara, Profesor Dr Tan Awang Besar.
Akhir sekali, program ini memberi mesej jelas tentang peranan Aswara sebagai peneraju institusi pendidikan seni, budaya dan warisan yang sentiasa menyemarakkan obor kecintaan terhadap bahasa serta budaya dalam jiwa anak muda.
Diharapkan semangat untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan menyanjung tinggi khazanah kesusasteraan bangsa yang diwarisi turun-temurun akan terus subur dalam kalangan generasi masa kini serta akan datang.
Penulis: Siti Nur Aqilah Amira Nor Alhamdi