AAN ke-16 raikan keunggulan ilmuwan negara 2025

Iklan
Zambry (tengah) menyampaikan anugerah kepada Siti Zuraina, yang dinobatkan Tokoh Akademik Negara AAN Ke-16, mengiktiraf sumbangan beliau selama hampir lima dekad dalam bidang arkeologi dan warisan dunia.

Anugerah Akademik Negara (AAN) terus menjadi pengiktirafan tertinggi negara kepada ahli akademik yang menyumbang besar terhadap kemajuan pendidikan dan penyelidikan di dalam serta luar negara.

Sejak diperkenalkan pada 2006 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), AAN menjadi simbol keunggulan akademia memartabatkan ilmu, memperkukuh budaya penyelidikan dan memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara.

Iklan
Iklan

Majlis penganugerahan AAN Ke-16 disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman.

Iklan

Pakar arkeologi terkemuka negara, Profesor Emeritus Datin Paduka Dr Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara AAN Ke-16, mengiktiraf sumbangan beliau selama hampir lima dekad dalam bidang arkeologi dan warisan dunia.

Iklan

Antara penemuan penting beliau termasuk rangka Perak Man dan penyelidikan di Lembah Lenggong merevolusikan pemahaman terhadap sejarah prasejarah Malaysia dan membawa pengiktirafan UNESCO terhadap tapak berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2012.

Beliau turut menemui teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara dan perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.

"Saya tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan ini kerana sepanjang kerjaya saya hanya fokus kepada kerja dan penyelidikan. Ia benar-benar satu penghormatan," ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada USM, kerajaan serta kumpulan penyelidiknya atas sokongan tidak berbelah bahagi.

Siti Zuraina menerima trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM200,000.

Sebanyak tujuh kategori utama dengan 15 anugerah dipertandingkan tahun ini, namun hanya sembilan penerima menepati kriteria ketat ditetapkan jawatankuasa pemilihan khas terdiri daripada pakar akademik dan industri.

Antara penerima utama ialah Dr Manraj Singh Cheema dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Haslinda Ibrahim dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Dr Rahimah Jamaluddin dari UPM bagi kategori Anugerah Pengajaran.

Kategori Anugerah Seni dan Kreativiti pula dimenangi Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris dari UUM, manakala Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal disandang Profesor Madya Dr Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia bagi bidang sains, sementara Profesor Madya Dr See Kok Fong dari USM bagi bidang sains sosial dan sastera.

Anugerah Penerbitan Buku diberikan kepada Profesor Madya Dr Norhayati Mohd Noor dari USM dan Anugerah Inovasi serta Pengkomersialan Produk dimenangi Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, juga dari USM.

Antara penerima yang mencuri perhatian ialah Dr Gan Wee Chen yang mengetuai penyelidikan menghasilkan pelitup muka berteknologi tinggi yang mampu membunuh virus serta- merta menggunakan medan elektrik mikro dijana daripada tenaga pernafasan manusia.

Beliau berkata, inspirasi projek tersebut hadir ketika pandemik Covid-19 dan inovasi ini berupaya memusnahkan mikrob dengan kecekapan 99 peratus.

Penerima Anugerah Seni dan Kreativiti, Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris pula menyifatkan pengiktirafan diterima sebagai penghargaan terhadap usaha menggabungkan dunia akademik dan industri muzik nasyid.

"Sebagai pensyarah muda, saya bersyukur menerima pengiktirafan ini kerana persaingan melibatkan semua institut pengajian tinggi awam dan swasta," ujarnya.

Beliau turut memperkenalkan konsep hiburan halal atau muzik Islamik popular di peringkat antarabangsa termasuk di United Kingdom dalam usaha memperkenalkan nilai murni Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui pendekatan etnomuzikologi.

Penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan pula berkata, pengiktirafan diterima menjadi motivasi kepada penyelidik muda untuk terus menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada industri.

Sejak AAN diperkenalkan, lebih 150 ahli akademik menerima pengiktirafan AAN dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pengajaran, inovasi dan penerbitan ilmiah.

Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan individu, malah secara tidak langsung memperkukuh budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Dengan legasi dan inspirasi penerimanya, AAN kekal sebagai tonggak kecemerlangan akademik nasional yang terus menjulang keunggulan ilmu serta membina generasi ilmuwan untuk masa depan Malaysia.