Pesara guru rayu bantuan RM70,000 biaya pembedahan jantung anak di IJN

Iklan
Mohammad Azim (tengah) ketika menjalani rawatan Jun lalu di IJN.

Seorang pesara guru kini buntu mencari dana lebih RM70,000 bagi membiayai kos pembedahan jantung anak bongsunya di Institut Jantung Negara (IJN) yang dijadualkan pada 8 Disember depan.

Salehudin Mat Rasad, 67, berkata, anaknya, Muhammad Azim, 18, telah bergelut dengan penyakit jantung sejak bayi lagi dan telah menjalani tiga pembedahan utama sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga wartawan sambilan mengakui ujian kali ini lebih mencabar apabila semua kos rawatan perlu ditanggung sendiri selepas anaknya tidak lagi layak menerima tanggungan kerajaan kerana telah mencapai usia dewasa.

"Saya pernah bantu ramai pesakit melalui surat khabar, tetapi kali ini saya sendiri diuji.

Iklan

"Sebagai pesara, amat berat untuk mencari jumlah sebesar itu dalam tempoh singkat," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu lubang besar pada jantung anaknya yang menyebabkan degupan jantung semakin lemah.

Iklan

"Walaupun sudah melalui tiga kali pembedahan utama sebelum ini, kali ini keadaannya lebih berisiko. Kami hanya mampu berdoa agar ada insan prihatin yang sudi membantu," ujarnya.

Mengimbas kembali perjalanan rawatan anaknya, Salehudin berkata, Muhammad Azim mula dirujuk ke IJN ketika berusia setahun setengah selepas dikesan mempunyai kecacatan jantung dan ketiadaan salur darah utama ke paru-paru.

"Pakar IJN melakukan pembedahan pertama untuk memasukkan salur darah ke paru-paru hasil pendermaan.

Salehudin dan isterinya, Nor Ezah Abdul Rahman, 52, menunjukkan kesan pembedahan jantung berlubang Mohammad Azim ketika berusia lapan tahun.

"Pada usia lapan tahun, dia menjalani pembedahan kedua untuk menutup lubang di jantung pada 13 Januari 2015.

"Kali ketiga pula ketika berusia 10 tahun, doktor menggantikan salur darah mengikut kesesuaian usianya," jelasnya.

Sejak itu, anaknya menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan di IJN yang sudah dianggap sebagai 'rumah kedua' bagi keluarga tersebut.

Beliau memberitahu, ujian datang kembali selepas hasil pemeriksaan terkini pada 11 Jun lalu mendapati terdapat satu lagi lubang besar pada jantungnya yang tidak dapat dikesan sebelum ini melalui prosedur kamera yang dimasukkan dari paha kanan dan kiri.

"Pembedahan kali ini perlu dilakukan segera pada 8 Disember depan bagi mengelakkan komplikasi lebih serius," tambahnya.

Menurut Salehudin, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pegawai kerajaan, segala kos perubatan anaknya ditanggung penuh oleh kerajaan.

Namun selepas bersara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan tanggungan bagi anak berusia lebih 18 tahun.

"Sekarang, segala kos rawatan perlu saya tanggung sendiri. Dengan pencen bulanan yang terhad dan tanggungjawab keluarga, saya benar-benar buntu.

"Saya hanya berharap ada insan dermawan yang sudi membantu kami demi kelangsungan nyawa anak saya," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya terus ke akaun CIMB atas nama Salehudin Mat Rasad (7035214973) bagi membantu mengurangkan beban keluarga itu. - Sinar Harian (ROSILAWATI ROSEDI)