NUTP sambut baik penambahbaikan SSDM, tangani beban guru

Iklan
Aminuddin

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kepada fungsi asalnya untuk merekod salah laku murid, merupakan langkah tepat yang dapat mengurangkan beban tugas guru.

Iklan
Iklan

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sebelum ini guru terpaksa memasukkan ratusan malah ribuan data amalan baik murid ke dalam SSDM, walaupun sistem itu asalnya dikhususkan untuk merekod salah laku murid.

"Jadi, apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan sistem itu akan dikembalikan kepada fungsi asalnya, kami percaya ini satu berita yang sangat melegakan para guru di seluruh negara," katanya pada sidang media di Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025 pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapan perasmian konvensyen itu, dilapor berkata, langkah penambahbaikan itu membolehkan guru memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama, khususnya pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah dan Menengah pada 2026 dan 2027.

Fadhlina turut dilapor berkata, langkah penambahbaikan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan pelaksanaan benar-benar membantu meringankan tugas guru.

Iklan

Aminuddin berkata, pengumuman itu seiring dapatan kajian NUTP yang dibentangkan pada konvensyen tersebut membabitkan 26 kajian seluruh negara berkaitan isu semasa dan beban tugas guru.

Dalam pada itu, Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada KPM atas pengambilan lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 guru bimbingan dan kaunseling yang diharap dapat mengurangkan beban tugas dan kekurangan tenaga pengajar di sekolah.

Beliau berkata, NUTP mencadangkan agar nisbah guru bimbingan dan kaunseling diubah kepada seorang guru bagi 350 murid berbanding 500 murid ketika ini, susulan peningkatan isu disiplin dan pengaruh negatif teknologi serta media sosial dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung (Penyelidikan dan Pembangunan) NUTP, Muhammad Ridzuan Idris mencadangkan agar KPM melaksanakan kajian menyeluruh mengenai kesihatan mental guru di seluruh negara bagi membolehkan intervensi yang lebih komprehensif dirangka.

Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025, anjuran NUTP dengan kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Malaya itu menghimpunkan 26 isu utama berkaitan guru termasuk aspek kesejahteraan, profesionalisme dan pembangunan karakter warga pendidik. - Bernama