Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan pelaksanaan pembentukan karakter murid secara menyeluruh mulai 2026, dengan pendekatan bersepadu yang diintegrasikan dalam subjek pembelajaran sedia ada.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pembentukan karakter bukan subjek baharu, sebaliknya diterapkan dalam waktu pengajaran harian bagi memperkukuh nilai murni dan sahsiah murid melalui pendekatan amali.
Beliau berkata, guru akan memperuntukkan sedikit masa dalam waktu pembelajaran untuk melaksanakan aktiviti pembentukan karakter murid, yang lebih menekankan latihan dan pengamalan nilai dalam konteks kehidupan seharian.
"Ini sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Saya mohon bagi ruang kepada guru-guru dan anak-anak kita untuk perjalanan kurikulum baru yang akan mula pada tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar 'Wacana Fikrah Siddiq Fadzil: Karamah Insaniyah - Pencetus Negara Bangsa'.
Fadhlina berkata, pendekatan itu bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki kekuatan emosi, disiplin diri dan kemahiran sosial yang tinggi.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan dengan murid prasekolah tahun hadapan sebelum diperluas kepada murid Tahun Satu dan seterusnya.
Beliau berkata, latihan khas dan sokongan akan diberikan kepada guru bagi memastikan pelaksanaan kurikulum baharu itu berjalan dengan berkesan, selain menyeru ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak-anak dalam menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu tersebut. - Bernama