Politeknik Besut Terengganu perkukuh jalinan kolaborasi bersama industri melalui Mesyuarat Penasihat 2025

Iklan
Muhammad Nasir (kanan) dilantik sebagai Pengerusi JPI dalam Mesyuarat JPI Kali Ke-2 Tahun 2025.

Politeknik Besut Terengganu (PBT) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan strategik bersama pihak industri apabila menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) Kali Ke-2 Tahun 2025 yang berlangsung di kampus berkenaan baru-baru ini.

Mesyuarat berkenaan turut mencatat detik penting apabila Pengasas dan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, dilantik sebagai Pengerusi JPI yang baharu manakala Nor Fazzle Mohd Zawawi diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi JPI bagi sesi 2025.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Pengarah PBT, Udom Ewon bersama barisan ketua jabatan, ketua unit dan wakil-wakil industri dari pelbagai sektor termasuk pembuatan, teknologi, keusahawanan serta perkhidmatan profesional yang menjalin kerjasama rapat dengan institusi tersebut.

Menurut Udom, mesyuarat itu menjadi platform penting dalam menyelaraskan keperluan industri dengan keupayaan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali gus memastikan graduan politeknik terus relevan dan berdaya saing di pasaran kerja.

Iklan

"Antara fokus utama perbincangan termasuk usaha memperkasakan bidang TVET melalui perkongsian ilmu dan teknologi bersama rakan industri, memperhalusi kurikulum sedia ada agar selaras dengan kehendak pasaran semasa serta mempergiat pemasaran produk pelajar hasil inovasi dan projek akhir ke peringkat industri," jelas beliau.

Iklan

Tambahnya, mesyuarat turut memberi penekanan terhadap usaha menanam semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar dan pendedahan mengenai peluang geran serta bantuan kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar dan pensyarah bagi memperkukuh potensi mereka.

Mesyuarat kali ini dikendalikan oleh Unit CISEC (Corporate, Industrial Services and Employability Centre), PBT, yang berperanan sebagai penghubung utama antara institusi dengan pihak industri dan agensi kerajaan.

Akhir sekali, dengan pelantikan barisan penasihat industri baharu serta penglibatan aktif sektor korporat, PBT yakin dapat terus mengukuhkan ekosistem TVET negara ke arah melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan berjiwa keusahawanan.