Malaysia lakar sejarah, dipilih Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025-2029

Iklan
Fadhlina

Malaysia melakar sejarah gemilang di persada antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan Malaysia itu diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO ke-43 di Samarkand, Uzbekistan.

Iklan
Iklan

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan global yang inklusif dan mampan.

"Mewakili Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang telah memberikan kepercayaan ini.

Iklan

"Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama pasukan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Kementerian Luar serta rakan strategik yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat global," katanya dalam kenyataan.

Fadhlina berkata, pemilihan Malaysia adalah amanah untuk memastikan suara negara membangun khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati selain menyerlahkan komitmen berterusan negara bagi membina masa hadapan lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.

Iklan

Beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan yang strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, memacu dasar dan inisiatif yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar dunia.

"Menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030,"  katanya. - Bernama