Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) terus menonjol sebagai peneraju pendidikan berasaskan teknologi apabila meraikan graduan dalam Majlis Konvokesyen UniKL ke-22, yang berlangsung dari 1 hingga 5 November 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Lebih membanggakan, UniKL MIIT mencatat 100 peratus kebolehpasaran graduan bagi tahun 2024, menurut laporan rasmi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah inisiatif Premier Digital Tech Institution (PDTI).
Menurut Dekan dan Ketua Kampus UniKL MIIT, Profesor Ts Dr Mohd Nizam Husen, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan Higher TVET (HTVET) yang menekankan keseimbangan antara kemahiran teknikal, pengalaman industri dan kompetensi insaniah.
“Pencapaian 100 peratus kebolehpasaran graduan ini memberi semangat tambahan kepada kami untuk terus memperkukuh kualiti pendidikan di UniKL MIIT. Ia menunjukkan program kami benar-benar sejajar dengan keperluan industri digital masa kini,” kata beliau.
UniKL MIIT turut mencatat peningkatan pengambilan pelajar baharu sehingga 150 peratus, menandakan keyakinan masyarakat terhadap program HTVET digital yang ditawarkan.
Mohd Nizam berkata, universiti kini menjadi destinasi utama pelajar yang ingin membina kerjaya dalam bidang teknologi digital, keselamatan siber, kecerdasan buatan dan multimedia.
Sebagai persiapan menghadapi cabaran masa depan, UniKL MIIT memperkenalkan makmal baharu KAiLA (Knowledge, Artificial Intelligence, Learning & Automation). Makmal ini menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Analitik Data, selain menyediakan platform kolaborasi dengan industri dan institusi antarabangsa.
“Melalui KAiLA, kami mahu melahirkan graduan yang bukan sekadar pengguna teknologi tetapi pencipta penyelesaian digital baharu yang memberi impak kepada masyarakat dan industri,” jelas beliau.
Mohd Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UniKL MIIT atas dedikasi mereka termasuk pensyarah, staf sokongan dan rakan industri kerana menjayakan misi universiti untuk menjadi peneraju pendidikan TVET digital.
Dengan kejayaan ini, UniKL MIIT terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi utama di bawah PDTI dan sebagai pusat kecemerlangan TVET digital yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.