Kreativiti pelajar bersinar! Agrobank raikan inovasi akuakultur sekolah

Iklan

Semangat dan kreativiti pelajar dalam bidang akuakultur mendapat pengiktirafan besar apabila Agrobank meraikan kejayaan peserta Pertandingan Aquaculture Aspire 2025, sebuah pertandingan yang membuktikan usaha pelajar neurodiversiti mampu menghasilkan projek ikan tilapia moden berasaskan teknologi.

Pertandingan ini menghimpunkan pelajar dari 10 buah sekolah di Semenanjung Malaysia yang mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PMVA) Akuakultur dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Iklan
Iklan

Sepanjang beberapa bulan, mereka mengusahakan ternakan tilapia menggunakan teknologi bioflok dan Internet of Things (IoT), satu pengalaman baharu yang menggabungkan kemahiran vokasional dengan teknologi semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kejayaan pelajar ini membuktikan bahawa ilmu dan teknologi mampu memperkasakan generasi muda, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.

Iklan

Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pelajar mencuba perkara baharu tetapi turut menanam keyakinan diri apabila mereka berjaya menukarkan hasil ternakan kepada produk inovatif yang bernilai tambah. Dengan bimbingan guru, pelajar diasah untuk berfikir secara kritis, kreatif dan berpotensi menjadi usahawan tani kecil di sekolah.

Keputusan pertandingan menyaksikan SMK Seri Perpatih, Gemas muncul juara dan membawa pulang RM3,000. Tempat kedua dimenangi SMK Renek, Jerteh manakala SM Pendidikan Khas Vokasional Merbok meraih tempat ketiga. Dua anugerah khas juga diberikan kepada SMK Seri Perpatih (Usahawan Tani) dan SMK Meranti, Pasir Mas (Inovasi).

Iklan

Pertandingan ini memberi mesej jelas bahawa pelajar hari ini bukan sekadar belajar tetapi mereka sedang membina masa depan sektor makanan negara, dengan keberanian untuk bereksperimen dan mencipta inovasi dalam bidang pertanian moden.