Suborno Isaac Bari, genius matematik muda yang menakluki dunia akademik

Iklan
Suborno Isaac Bari dikenali sebagai genius sejak kecil, dengan memperlihatkan kebolehan luar biasa yang jarang sekali ditemui.

Pada usia 13 tahun, Suborno Isaac Bari bukan sekadar pelajar kolej biasa, tetapi seorang genius matematik yang turut mengajar kelas kalkulus di Universiti New York (NYU).

Dilahirkan pada 9 April 2012 di Bronx, New York, Amerika Syarikat, Suborno dikenali sebagai seorang genius sejak kecil, beliau menunjukkan kebolehan luar biasa yang jarang ditemui.

Iklan
Iklan

Pada usia dua tahun, beliau sudah menguasai jadual berkala unsur dan pada usia tiga tahun, Suborno mampu menyelesaikan masalah matematik, fizik dan kimia yang kompleks dengan mudah.

Menjelang usia tujuh tahun, beliau pernah mengajar untuk pelajar universiti di India.

Iklan

Tatkala Universiti Mumbai menjemputnya sebagai pensyarah jemputan dalam bidang fizik, beliau segera menerimanya, menandakan kebolehan intelektualnya yang menakjubkan.

Pada usia 11 tahun pula, Suborno telah memohon ke beberapa universiti, menyiapkan tiga esei matematik penting sebelum meraikan ulang tahun ke-12.

Iklan

Bakat beliau bukan sahaja menakjubkan secara semula jadi, tetapi juga diiktiraf secara rasmi.

Suborno ketika menyelesaikan soalan matematik.

Pada 2020, Suborno menerima surat penghargaan daripada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, atas kecemerlangan dan sumbangannya dalam pendidikan.

Perjalanan akademiknya terus memukau tatkala beliau menamatkan pengajian di Malverne High School, Long Island, New York dalam tempoh hanya dua tahun, menjadi graduan termuda dalam sejarah sekolah itu dengan Purata Mata Gred 98 daripada 100.

Suborno juga memperoleh markah tertinggi dalam kursus AP Calculus BC (kursus matematik peringkat tinggi di sekolah menengah Amerika Syarikat yang setaraf kuliah universiti) dan pernah mengikuti kelas sekolah menengah pada waktu pagi ketika masih di Darjah Empat.

Lahir daripada ibu bapa imigran Bangladesh, Rashidul Bari dan Shaheda Bari, kisah Suborno juga menekankan peranan sokongan keluarga, dedikasi dan peluang dalam membentuk kejayaan luar biasa.

Kedua ibu bapanya adalah yang pertama mengenal pasti potensi anak mereka dan membimbingnya sepanjang perjalanan akademik.

Suborno bersama ayahnya, Rashidul Bari.

Kini di NYU, Suborno menggambarkan kampus sebagai 'ruang diskusi harian', tempat yang ideal bagi seorang pelajar yang memandang matematik sebagai sumber kegembiraannya.

"Saya belajar matematik untuk keseronokan," katanya, sambil menekankan hasratnya untuk bukan sahaja memajukan ilmu sains tetapi juga menjadikannya lebih mudah diakses, khususnya dalam bidang fizik.

Suborno, yang dijadual menamatkan pengajian sarjana muda dalam Matematik dengan minor Fizik pada musim bunga 2027, juga sedang memohon program PhD dan menjalankan penyelidikan mengenai ketidakrasionalan fungsi zeta Riemann bersama seorang ahli matematik dari Universiti Radboud, Belanda.

Terbaharu pada Ogos lalu, Suborno yang juga merupakan pelajar termuda dalam sejarah hampir 200 tahun NYU, tampil sebagai salah seorang pembicara di persidangan TEDxNYU 2025, bertema MOSAIC, yang mengajak masyarakat meraikan kepelbagaian dan kompleksiti identiti manusia.

Ketika berdiri di hadapan kira-kira 250 pelajar, pensyarah dan tetamu, fokusnya bukan pada angka atau pencapaian akademik, sebaliknya pada hakikat identiti dan kebebasan memilih.

Kini ketika ramai pelajar kolej masih mencari hala tuju hidup, Suborno sudah menetapkan matlamat berikut iaitu menjadi Profesor Suborno Bari. - Agensi