Banjir sejak Sabtu, guru SK Banggu kongsi luahan...'Ini ujian buat kami'

Iklan
Keadaan SK Banggu semasa dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

"Sekolah saya dilanda banjir..."

Demikian luahan Guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu, Kelantan, Cikgu Ahmad Safarman Dollah ketika berkongsi situasi sekolahnya kepada Sinar Bestari melalui WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, SK Banggu terletak di tepi sawah padi dan bersebelahan sebuah sungai kecil yang menjadi nyawa penduduk kampung pada musim kemarau, tetapi berubah menjadi ancaman setiap kali hujan lebat.

"Banjir kali ini bermula pada 22 November (Sabtu) lalu apabila hujan lebat turun tanpa henti.

Iklan

"Keadaan bertambah kritikal pada Ahad, apabila laluan utama ke sekolah ditenggelami air sepenuhnya. Murid-murid terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), manakala ibu bapa diliputi kebimbangan mengenai keselamatan anak-anak mereka.

Iklan

"Suasana menjadi hening, namun tidak sunyi. Ramai warga sekolah mula bersiap sedia menghadapi kemungkinan terburuk," kongsi Cikgu Ahmad Safarman sambil menambah bahawa apa yang berlaku adalah ujian buat mereka.

Ketika banjir berlaku, beliau berkata, guru-guru yang berada berhampiran sekolah terus hadir untuk menyelamatkan aset penting sekolah.

Fokus utama adalah bilik RMT, bilik buku teks, makmal sains dan surau. Bagaimanapun, surau sekolah antara yang paling terkesan apabila tenggelam, namun peralatan dan karpet berjaya diselamatkan.

Guru Besar SK Banggu, Md Roslan Mohamad berkata, banjir kali ini menenggelamkan hampir keseluruhan kawasan sekolah.

"Tahun lalu, situasi sama pernah berlaku. Sekolah pernah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi penduduk kampung, namun air tetap menenggelami bangunan dan laluan masuk tidak dapat dilalui," jelasnya.

Penolong Kanan Kokurikulum, Nik Roseli Nik Yahya turut menambah, pihak sekolah sentiasa memantau paras air secara berterusan melalui laporan pengawal keselamatan dan pekerja.

Ia bertujuan bagi memastikan keselamatan murid, guru dan aset sekolah sentiasa terjamin.

Sementara itu, wakil murid, Ahmad Fahim Wafiyyuddin berkata, pengalaman banjir tersebut menjadi satu pelajaran hidup yang berharga.

"Inilah pengalaman pertama saya menghadapi banjir di sekolah, terpaksa belajar di rumah selama tiga hari. Malah, perjalanan ke sekolah bersama ayah penuh cabaran, namun ia mengajar saya kesabaran, keberanian dan ketabahan," katanya.

Akhir sekali, walaupun diuji banjir, SK Banggu terus menunjukkan semangat luar biasa dalam memastikan proses pendidikan berjalan lancar sekali gus membuktikan bahawa ketabahan, kerjasama dan kasih sayang antara guru, murid dan komuniti mampu mengatasi cabaran paling getir.