Seramai 100 murid Tahap Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka mengikuti lawatan berkomuter ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lawatan yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah bertujuan memberi pendedahan kepada murid tentang kemudahan pengangkutan awam moden, khususnya perkhidmatan KTM Komuter, sebagai alternatif perjalanan yang selamat, mudah dan mesra alam.
Menurut kenyataan media yang diemel kepada Sinar Bestari, lawatan tersebut menggunakan laluan Pulau Sebang – KL Sentral, membolehkan murid menyelusuri tarikan-tarikan menarik di ibu kota termasuk Muzium Negara dan Planetarium Negara.
"Aktiviti sebegini bukan sekadar lawatan santai, tetapi juga peluang untuk meningkatkan pengetahuan murid tentang penggunaan pengangkutan awam dengan berhemah.
"Malah, mereka juga didedahkan kepada etika, keselamatan dan kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam," menurut kenyataan itu.
Seterusnya, lawatan bermanfaat itu juga membantu membina keyakinan diri dan kemahiran sosial murid melalui pengalaman perjalanan sebenar serta interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat di bandar besar.
Akhir sekali, dengan penglibatan aktif murid dalam program seperti ini, SK Rumbia terus menekankan pembelajaran holistik, menggabungkan akademik dengan pengalaman praktikal yang menyeronokkan dan bermanfaat.