Air mata yang ditahan, senyuman yang dipaksa dan genggaman tangan yang enggan dilepaskan, itulah antara detik yang menghiasi Majlis Pendaftaran Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, apabila seramai 103 murid kecil melangkah buat pertama kali ke alam persekolahan secara formal.
Seawal jam 8.30 pagi, Dewan Sri Banggu dipenuhi wajah-wajah polos yang masih mencari keberanian.
Ada yang melangkah yakin sambil memegang beg sekolah baharu, ada juga yang berkali-kali menoleh ke belakang, memastikan ibu atau ayah masih setia berdiri di situ.
Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Muhamad Yaakob berkata, pendidikan awal bukan sekadar pembelajaran membaca dan menulis, sebaliknya asas pembentukan sahsiah serta nilai kehidupan.
“Ilmu merupakan bekalan utama dalam kehidupan. Anak-anak inilah benih masa hadapan. Tanggungjawab kita bersama ialah memastikan mereka membesar menjadi insan berilmu dan berakhlak,” katanya.
Bagi ibu bapa, hari ini bukan sekadar hari pendaftaran, malah ia merupakan simbol kepercayaan.
Ini kerana, mereka menyerahkan amanah paling berharga kepada pihak sekolah untuk mendidik, membimbing dan membentuk masa depan anak masing-masing.
Dalam pada itu, taklimat pendaftaran yang disampaikan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) pula membuka ruang kefahaman kepada ibu bapa tentang kebajikan dan pengurusan murid.
Menurutnya, Hari Pendaftaran Tahun 1 bukanlah acara rutin semata-mata, sebaliknya jambatan awal yang menghubungkan rumah dan sekolah.
“Hubungan erat ibu bapa dan sekolah sangat penting. Apabila kita bergerak seiring, anak-anak akan lebih yakin dan bersedia untuk belajar,” ujarnya.
Selain itu, Guru Penyelaras Tahun 1, Rozana Ibrahim memastikan setiap murid ditempatkan dalam kelas sesuai, menjawab pertanyaan daripada ibu bapa dan menenangkan murid yang masih berasa takut.
SK Banggu sekali lagi membuktikan komitmennya bukan sahaja dalam aspek pengurusan, tetapi juga dalam menyantuni emosi murid dan ibu bapa demi memastikan perjalanan pendidikan bermula dengan penuh makna serta kasih sayang.