Seramai 85 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sepang, Selangor mencipta detik bermakna apabila menerima surat tawaran kemasukan ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Majlis penuh inspirasi itu berlangsung dalam Majlis Restu Ilmu Bonda Pengetua Bersama Calon SPM 2025 di Dewan Makan Asrama sekolah dan turut disertai ibu bapa serta warga pendidik.
Lebih membanggakan, empat pelajar berpotensi tinggi turut menerima surat tawaran tajaan bersyarat atas prestasi akademik yang konsisten dengan pencapaian cemerlang pada percubaan SPM lepas.
Penyampaian surat tawaran itu disempurnakan Pengarah Pemasaran dan Kemasukan Pelajar UNITEN, Jureena Noordin sebagai tanda penghargaan universiti terhadap usaha dan kesungguhan pelajar yang berdaya saing.
Menurut Jureena, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen UNITEN untuk membuka akses pendidikan tinggi berkualiti selain memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang strategik yang menyokong pembangunan tenaga negara.
"Pemberian surat tawaran awal kepada pelajar cemerlang ini juga mengukuhkan kerjasama strategik antara UNITEN dengan sekolah-sekolah di seluruh negara, sekali gus memberi motivasi kepada pelajar lain untuk terus mengejar kecemerlangan akademik," katanya.