Karya bertajuk Huminodun: The Spirit of Sacrifice in Sabah's Sacred Soil mencipta sejarah tersendiri apabila diumum sebagai penerima Anugerah Emas dalam The Queen's Commonwealth Essay Competition baru-baru ini.
Esei Bahasa Inggeris yang dihasilkan oleh pelajar Tahun Satu Program Teknologi Automotif, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Ferdiana Osmund, 16, itu berjaya memikat hati panel juri antarabangsa sekali gus mengangkat namanya sebagai pemenang di peringkat Commonwealth.
Menurut Ferdiana, pengiktirafan berprestij itu memberi makna besar kerana karyanya menampilkan cerita rakyat Sabah yang penuh nilai sejarah dan budaya.
Dia tidak menyangka kisah tradisi kaum Dusun yang dibawa melalui penulisannya mendapat perhatian di pentas antarabangsa.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan cemerlang tersebut.
Katanya, pencapaian Ferdiana membuktikan kemampuan pelajar vokasional bukan sahaja dalam bidang teknikal bahkan turut menyerlah dalam penulisan Bahasa Inggeris.
Beliau berharap kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus mengasah kemahiran bahasa dan berani berkarya pada platform yang lebih luas.
Untuk makluman, karya Huminodun: The Spirit of Sacrifice in Sabah's Sacred Soil mengangkat legenda Huminodun yang sanggup mengorbankan diri demi menyelamatkan masyarakat daripada penderitaan akibat kemarau panjang serta kegagalan tanaman.
Kisah pengorbanan itu menjadi akar kepada amalan tradisi masyarakat Dusun dan terus diingati sehingga kini.
Malah, Perayaan Kaamatan yang diraikan setiap Mei di Sabah turut berakar daripada legenda Huminodun sebagai simbol kesyukuran atas hasil tuaian serta kelangsungan hidup masyarakat.