Di sebalik pagar sekolah yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk belajar dan berkawan, satu insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan murid di sebuah sekolah di Kedah baru-baru ini, meninggalkan kesan mendalam kepada ramai.
Bukan hanya kepada murid yang terlibat tetapi juga rakan-rakan yang menyaksikannya, guru-guru terpanggil mengawal keadaan, malah ibu bapa menerima berita dengan hati berdebar.
Bagi murid lain, kejadian itu mencetuskan rasa takut dan tidak selamat sekali gus sesuatu yang tidak sewajarnya hadir dalam dunia persekolahan mereka. Ada yang mula enggan ke sekolah, manakala guru cuba menenangkan mereka dengan pelbagai cara.
Dalam suasana seperti itulah JPN Kedah tampil memberi jaminan bahawa keselamatan murid adalah keutamaan yang tidak boleh dipersoal.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, JPN Kedah memaklumkan bahawa tindakan pantas telah diambil, termasuk merujuk kes kepada pihak berkuasa serta menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh melalui pihak sekolah.
Murid yang terbukti bersalah dikenakan tindakan gantung sekolah dan buang sekolah iaitu hukuman yang berat tetapi dianggap penting demi memulihkan keyakinan seluruh komuniti sekolah.
JPN Kedah menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan atau salah laku murid. Bagi mereka, setiap murid berhak pulang ke rumah dalam keadaan selamat dan setiap guru berhak mengajar dalam suasana harmoni.
Lebih penting, tragedi itu mengingatkan masyarakat bahawa anak-anak sekolah hari ini hidup dalam dunia yang semakin mencabar. Mereka memerlukan lebih banyak bimbingan, intervensi awal dan pendekatan nilai bagi mencegah salah laku sebelum ia menjadi barah dalam komuniti sekolah.
Justeru, JPN Kedah turut menyeru semua sekolah untuk memperkukuh program pencegahan, termasuk pendidikan emosi, sahsiah dan sokongan psikososial. Langkah-langkah ini bukan sekadar prosedur tetapi usaha membina persekitaran di mana setiap murid berasa dihargai dan dilindungi.
Walaupun insiden pergaduhan ini memberi luka dalam memori ramai, ia juga membawa sinar yakni kesedaran baharu tentang tanggungjawab bersama menjaga keselamatan dan masa depan generasi muda. Dan seperti kata seorang guru yang enggan dikenali, “Kami hanya mahu sekolah kembali tenang…supaya anak-anak ini boleh belajar dan membesar dengan yakin.”