Guru yang terbabit dalam aktiviti songsang yang dibongkar dalam serbuan baru-baru ini tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tegas kementerian itu, pihaknya memandang serius penglibatan pegawainya seperti dilaporkan dan siasatan dalaman sedang dilakukan.
"Tindakan segera telah diambil dengan memastikan pegawai-pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah kementerian hingga proses siasatan selesai," katanya pada Isnin.
Ujar KPM, semua ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat.
"KPM tidak berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral ini," ujar KPM.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur, menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Kegiatan tersebut terbongkar dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), hasil risikan selama dua minggu.
Operasi yang bermula pada jam 8 malam itu membawa kepada penahanan seramai 171 lelaki tempatan dan daripada jumlah itu, 17 adalah penjawat awam termasuk guru.