Menilai keberkesanan geran padanan kenderaan kepada rakyat Malaysia

Iklan
Gambar hiasan

Statistik pengangkutan Malaysia telah menganalisis jumlah kenderaan di Malaysia sebanyak 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jenis kenderaan motokar menjadi penyumbang utama.

Peningkatan jumlah kendaraan ini boleh memberi banyak kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi, namun membawa kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Oleh sebab itu, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Geran Padanan Kenderaan untuk mengatasi masalah ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Geran Padanan sebanyak RM4,000 bagi menggalakkan pemilik kenderaan melupuskan kenderaan lama yang berusia lebih 20 tahun yang tidak lagi selamat untuk penggunaan di jalan raya serta beralih kepada kenderaan nasional baharu.

Iklan

Inisiatif ini dilaksanakan oleh kerajaan melalui kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar automotif tempatan serta pihak industri pelupusan bagi memastikan proses pelupusan, pembelian dan penggantian kenderaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Antara inisiatif lain Geran Padanan Kenderaan ini bertujuan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Iklan

Hal ini kerana Malaysia kini mencatatkan lebih daripada 3 juta kenderaan yang telah berusia lebih 15 tahun, termasuk lebih 1 juta kenderaan yang melebihi usia 20 tahun.

Kenderaan lama yang digunakan berisiko mengalami kerosakan sistem mekanikal dan tidak lagi memenuhi ciri keselamatan moden, sekali gus menyumbang kepada peningkatan insiden kemalangan.

Pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu mengelakkan sebarang masalah.

Hal ini kerana kenderaan lama yang berusia lebih 15 tahun kebanyakannya tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan moden seperti beg udara, sistem brek cegah kunci (ABS) dan sistem bantuan pemandu (ADAS).

Tambahan pula, ciri keselamatan ini mempunyai had jangka hayat tertentu dan perlu diganti selepas tempoh yang ditetapkan. Namun, ramai pemilik kenderaan lama tidak menyedari atau tidak mampu menanggung kos penggantian, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

Kenderaan lama menyumbang peratus tertinggi kepada kemalangan jalan raya disebabkan insiden kegagalan brek, masalah sistem kemudi dan tayar haus yang menjadi punca utama kemalangan.

Dari segi ekonomi, inisiatif ini dapat memberi suntikan positif kepada kewangan negara antaranya mampu meningkatkan jualan kenderaan nasional, sekaligus membantu meningkatkan pengeluaran kenderan tempatan.

Peningkatan jualan kereta baharu mampu merancakkan pertumbuhan sektor pembuatan kenderaan, membuka peluang pekerjaan dalam sektor pelupusan, pemasangan komponen, logistik serta perkhidmatan selepas jualan.

Peningkatan jualan akan meningkatkan hasil cukai kerajaan melalui kutipan cukai jualan dan insurans kenderaan.

Industri kecil dan sederhana (PKS) seperti bengkel kenderaan, pembuatan alat ganti tayar dan bateri juga berpotensi berkembang seiring dengan pertumbuhan permintaan.

Dari segi alam sekitar, pelaksanaan inisiatif ini dapat mengurangkan masalah pelepasan karbon dioksida.

Kereta menjadi penyumbang utama kepada masalah pencemaran udara ia membebaskan gas dan partikel halus seperti gas karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksidayang memberi kesan yg lebih teruk jika berlaku kesesakan kenderaan.

Peralihan kepada kenderaan baharu ini turut menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan gas pelepasan rumah hijau dan menggalakkan penggunaan model baru yang lebih mesra alam seperti kenderaan cekap tenaga Energy Efficient Vehicle (EEV) dan tenaga hibrid.

Namun, pelaksanaan ini turut menerima kritikan daripada sebahagian rakyat. Mereka berpendapat bahawa bantuan tersebut tidak memberi kelebihan yang ketara, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Hal ini kerana jumlah geran sebanyak RM4,000 masih dianggap tidak mencukupi untuk membantu meringankan kos pembelian kenderaan baharu, memandangkan harga pasaran semasa kenderaan tetap tinggi dan sukar ditanggung.

Tambahan pula, terdapat kebimbangan bahawa pelaksanaan ini hanya akan menambah beban kewangan rakyat.

Selepas melupuskan kenderaan lama, mereka akan terikat dengan komitmen hutang selama 7 hingga 9 tahun yang menambah kos sara hidup mereka. Penawaran ini turut memberi kebimbangan kepada warga emas yang hendak melupuskan kenderaan mereka kerana agak susah untuk mendapat pinjaman dari bank atas sebab umur.

Kesimpulannya, inisiatif Geran Pandanan Kenderaan merupakan langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, merancakkan ekonomi dan memelihara alam sekitar.

Namun, kejayaan inisiatif ini masih berada di fasa awal dan kerajaan masih belum mengumumkan prosedur lengkap berkaitan prosedur-prosedur untuk mendapatkan kemudahan ini.

Oleh sebab itu, kejayaan ini bergantung kepada pelaksanaan yang dilakukan secara telus, mudah dan tidak membebankan rakyat. Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan inisiatif ini dapat dinikmati secara adil oleh semua masyarakat.

Dengan kerjasama oleh syarikat lain inisiatif ini boleh bertindak menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang lebih selamat, lestari dan sejahtera.

 

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wan Nurfarah Najwa Wan Allaudin

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharuddin Padli