Ekonomi tenat, ibu bapa sibuk bekerja jadi punca sahsiah anak terganggu & jenayah pelajar meningkat

Iklan
Pakar psikologi keluarga menjelaskan bahawa pendidikan sahsiah memerlukan kehadiran dan pengawasan berterusan, namun aspek itu gagal dipenuhi apabila ibu bapa sibuk mencari rezeki. Gambar kecil: Muhammad Zul Aizad dan Dr Jaharudin

Tekanan ekonomi yang semakin menghimpit rakyat dikenal pasti antara punca utama peningkatan kes salah laku dan jenayah pelajar yang direkodkan tahun lalu.

Pemerhati sosial dan pendidik berpendapat situasi berkenaan berlaku apabila ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung kos sara hidup, sehingga menyebabkan pendidikan sahsiah anak terabai.

Iklan
Iklan

Kenaikan harga barangan asas, sewa rumah dan kos pendidikan menambah beban perbelanjaan isi rumah.

Hal itu memaksa majoriti ibu bapa bekerja sepenuh masa, dengan sebahagian terpaksa melakukan dua pekerjaan.

Iklan

Akibatnya, ramai ibu bapa pulang lewat, letih dan tidak mempunyai masa mencukupi untuk memantau tingkah laku anak.

Anak pula banyak menghabiskan masa bersendirian, bergantung kepada gajet atau rakan sebaya.

Iklan

Pakar psikologi keluarga menjelaskan bahawa pendidikan sahsiah memerlukan kehadiran dan pengawasan berterusan, namun aspek itu gagal dipenuhi apabila ibu bapa sibuk mencari rezeki.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pihak sekolah dan polis melaporkan peningkatan ketara kes salah laku melibatkan pelajar sekolah menengah.

Antara kes yang paling kerap berlaku termasuk pergaduhan berkumpulan, buli fizikal dan siber, kecurian telefon serta barang rakan, vandalisme dan penyalahgunaan vape.

Fenomena ini turut menjadi lebih serius apabila banyak kejadian tular di media sosial, di mana pelajar merakam video pergaduhan dan menjadikannya tontonan umum.

Menurut seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah Selangor, ramai pelajar bermasalah datang daripada keluarga yang kurang pemantauan.

Beliau menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa bekerja dari pagi hingga malam, menyebabkan anak bebas bergerak tanpa kawalan.

Situasi ini menggambarkan realiti masyarakat moden, di mana tekanan ekonomi memaksa ibu bapa keluar bekerja sehingga mengurangkan masa bersama anak-anak.

Akibatnya, pendidikan sahsiah yang sepatutnya bermula di rumah menjadi terabai.

Remaja yang kurang perhatian dan bimbingan lebih mudah dipengaruhi rakan sebaya, terdedah kepada penggunaan media sosial tanpa kawalan serta cenderung mencuba tingkah laku berisiko.

Tanpa pengawasan yang jelas, remaja membentuk nilai dan identiti sendiri berdasarkan persekitaran luar yang tidak semestinya positif.

Walaupun sekolah berusaha menangani masalah disiplin, peranan guru adalah terbatas.

Pembentukan sahsiah memerlukan kerjasama rapat antara sekolah dan ibu bapa.

Oleh itu, ibu bapa perlu memberi perhatian walaupun dalam masa yang singkat, bertanya perkembangan anak, mengenali rakan mereka dan memantau aktiviti harian.

Dalam banyak kes, ketidakhadiran ibu bapa akibat kesibukan kerja menyebabkan media sosial secara tidak langsung mengambil alih peranan sebagai 'pendidik' utama kepada anak-anak.

Kanak-kanak dan remaja yang menghabiskan berjam-jam di internet tanpa pemantauan mudah terdedah kepada kandungan ganas, budaya flexing yang mengagungkan kemewahan, cabaran berbahaya yang mengancam keselamatan, serta pengaruh influencer yang mempromosi gaya hidup bebas tanpa batas.

Lebih membimbangkan, platform sosial turut menormalisasikan bahasa kasar dan budaya buli, menjadikan tingkah laku tersebut kelihatan biasa dalam kehidupan harian.

Apabila pengaruh media ini tidak ditapis atau dibimbing oleh ibu bapa, ia membentuk sahsiah anak-anak secara tidak terkawal dan seringkali membawa mereka ke arah tingkah laku yang agresif, impulsif dan berisiko.

Walaupun ibu bapa bekerja keras demi memberikan keselesaan hidup kepada keluarga, anak sering menjadi mangsa tekanan tersebut apabila nilai moral dan sahsiah tidak dibentuk dengan betul.

Dalam banyak keadaan, remaja menunjukkan masalah emosi yang tidak terkawal, mudah marah, tertekan dan mencari perhatian melalui tingkah laku agresif.

Kekurangan masa bersama ibu bapa juga menyebabkan pengaruh rakan sebaya menjadi lebih dominan, terutama apabila mereka berkawan dengan individu yang turut mempunyai tingkah laku negatif.

Pada masa yang sama, ketagihan terhadap gajet semakin meningkat kerana ia menjadi tempat anak mencari hiburan, pelarian emosi dan identiti tanpa panduan.

Lebih membimbangkan, nilai murni seperti tanggungjawab, hormat dan disiplin tidak terbentuk secara konsisten kerana ketiadaan contoh dan bimbingan daripada ibu bapa, sekali gus memberi kesan langsung terhadap pembentukan sahsiah dan perilaku harian mereka.

Kekangan ekonomi semasa sememangnya memaksa ibu bapa bekerja keras, tetapi kesannya terhadap sahsiah dan tingkah laku anak tidak boleh diabaikan.

Pembentukan sahsiah bukanlah proses spontan; ia memerlukan perhatian, masa, dan konsistensi.

Jika generasi muda membesar tanpa bimbingan yang kukuh, risiko terlibat dalam jenayah dan salah laku akan terus meningkat.

Menangani isu jenayah pelajar bukan sekadar menambah peraturan atau hukuman, tetapi bermula dengan memperkukuh institusi keluarga.

Ibu bapa merupakan benteng pertama dan terakhir dalam membentuk sahsiah anak dan tanpa peranan itu, masyarakat secara keseluruhan akan menanggung akibatnya.

Maklumat penulis: 

1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Zul Aizad Asmawi

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my