Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Amim Othman berkata, kedua-dua bentuk bantuan tersebut berfungsi sebagai penampan ekonomi yang melindungi kumpulan B40 dan M40 daripada kesan langsung inflasi.
"Dalam keadaan ekonomi yang dicirikan oleh kenaikan harga makanan, barangan keperluan, perkhidmatan serta kos utiliti, jurang antara pendapatan dan perbelanjaan asas semakin melebar khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.
Tambah beliau, bagi isi rumah M40 yang sering tidak layak menerima pelbagai bentuk bantuan lain, STR menjadi sokongan penting untuk mengelakkan kemerosotan mendadak taraf hidup.
"STR berfungsi sebagai bantuan tunai langsung yang menambah pendapatan boleh guna isi rumah. Bantuan ini memberi fleksibiliti kepada penerima untuk menampung keperluan mendesak seperti bil elektrik dan air, sewa rumah, kos pengangkutan, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan kesihatan," katanya.
Dr Mohd Amim berkata, bantuan SARA disalurkan secara lebih bersasar dan berstruktur melalui bantuan bulanan khusus untuk pembelian barangan asas, terutamanya makanan dan keperluan runcit.
Pendekatan ini memastikan keperluan asas isi rumah terus terjamin walaupun berdepan pendapatan yang terhad.
"Gabungan SARA dan STR membentuk sistem sokongan dua lapis iaitu bantuan fleksibel dan bantuan bersasar, yang secara kolektif mengurangkan tekanan kos sara hidup serta melindungi kesejahteraan isi rumah," katanya.
Mengulas kesan inflasi, Dr Mohd Amim berkata, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan telah menghakis kuasa beli rakyat, terutama golongan B40 dan M40 yang sebahagian besar pendapatan mereka diperuntukkan untuk perbelanjaan asas.
"STR membantu menstabilkan aliran tunai isi rumah supaya mereka dapat mengekalkan perbelanjaan minimum tanpa bergantung sepenuhnya kepada hutang atau mengurangkan keperluan penting secara drastik," katanya.
Selain itu, bantuan SARA bertindak sebagai penstabil perbelanjaan asas, khususnya makanan, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan dan membantu isi rumah mengekalkan kualiti hidup minimum.
Dr Mohd Amim berkata, model bantuan tunai bersyarat dan tidak bersyarat seperti STR dan SARA terbukti berkesan dalam mengurangkan kemiskinan jangka pendek di Malaysia.
"Walaupun bantuan ini tidak menyelesaikan kemiskinan struktural seperti isu gaji rendah atau kekurangan peluang pekerjaan ia memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial sementara memberi ruang kepada isi rumah menstabilkan kehidupan sebelum mengambil langkah jangka panjang ke arah peningkatan ekonomi," katanya.
Selain membantu kesejahteraan keluarga, beliau berkata, bantuan tunai kerajaan turut memberi kesan positif kepada ekonomi komuniti setempat.
"Kebanyakan penerima membelanjakan bantuan di kedai runcit, pasar basah dan perniagaan kecil tempatan yang merangsang permintaan domestik.
"Kesan gandaan ekonomi daripada perbelanjaan ini membantu mengekalkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan mengukuhkan jaringan ekonomi komuniti khususnya di kawasan berpendapatan rendah,” katanya