Pemergian Allahyarham Muhammad Amidee Abdullah, 25, meninggalkan kesan mendalam buat warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK), khususnya Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).
Allahyarham bukan sekadar pelajar pintar, malah penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam Program Teknologi Bioindustri. Kejayaan itu melayakkannya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) secara laluan pantas (fast track) sekali gus satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Pengarah GREAT UMK, Profesor Madya Dr Noor Fazliani Shoparwe, yang juga penyelia Allahyarham, tidak mampu menyembunyikan kesedihan apabila mengenang kehilangan pelajar yang sangat rapat dengannya itu.
“Tubuh saya luluh longlai selepas menerima berita kematian Allahyarham. Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke Johor untuk melawat bapa yang sedang dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi). Tidak terlintas langsung kejadian itu menimpa pelajar PhD di bawah seliaan saya,” katanya dalam nada sebak.
Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai pelajar bijak, rajin, berdedikasi dan sangat komited terhadap dunia penyelidikan. Malah sering berkongsi pandangan serta ilmu dengan rakan-rakan sealiran, menjadikannya figura yang dihormati di fakulti.
“Kehilangannya amat menyedihkan. Namun saya bersyukur diberi peluang membimbing Amidee dari peringkat ijazah sehingga PhD. Semoga segala ilmu yang dia tuntut menjadi amal jariah dan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada. Saya sangat sayangkan Amidee,” ujarnya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Maka/Chawas, Mukim Padang Siam, Tanah Merah, Kelantan apabila jenazah Allahyarham disemadikan sekitar jam 11.30 pagi Rabu, disaksikan ahli keluarga, jiran serta rakan-rakan dari FBKT.
Terdahulu, solat jenazah diadakan di Masjid An-Nur Hidayah pada jam 11.00 pagi.
Pemergian Allahyarham Muhammad Amidee merupakan kehilangan besar buat UMK, bukan hanya sebagai pelajar cemerlang tetapi sebagai insan yang berbudi, merendah diri dan menjadi inspirasi kepada ramai.