Anak-anak ialah anugerah terindah, namun Amanah ini menuntut komitmen yang besar dalam mendidik mereka sejak awal lagi.
Mereka ini perlu dilentur dari buluh lagi agar tumbuh membesar menjadi orang yang berguna dan disegani masyarakat serta membantu negara ke arah yang lebih baik dan positif agar di pandang tinggi di peringkat global.
Fenomena didikan manja dalam kalangan ibu bapa muda pada zaman serba moden ini yang memilih jalan mudah untuk meredakan tangisan atau karenah kecil anak mereka dengan memberi telefon pintar. Ini sekali gus mengelakkan teguran atau
Tindakan disiplin yang sepatutnya ibu bapa titipkan dalam diri anak-anak mereka.
Dengan ini,anak-anak akan suka bermain permainan video dan menyendiri. Di samping itu, ibu bapa zaman milenia ini sering sahaja memberikan apa yang anak-anak kecil mereka mahukan menyebabkan anak-anak ini tumbuh membesar menjadi seorang yang manja dan keras kepala.
Amalan ini, walaupun kelihatan ringkas dan praktikal, menanam benih masalah tingkah laku yang lebih besar apabila anak-anak mula belajar bahawa setiap kehendak mereka akan dipenuhi tanpa batasan atau usaha.
Lebih membimbangkan, pendedahan tanpa kawalan kepada kandungan digital membuatkan mereka mempelajari perkara yang tidak baik, sehingga menyumbang kepada berlakunya kes-kes disiplin serius termasuk insiden murid memukul guru yang tular baru-baru ini.
Menurut kes yang lalu menunjukkan betapa seriusnya isu ini apabila seorang pelajar Tingkatan Dua dipercayai mengugut dan menumbuk gurunya kerana berang ditegur atas kes ponteng kelas.
Hal ini menunjukkan betapa bahayanya anak-anak jika tidak mendapat bimbingan dengan penuh disiplin yang menyebabkan mereka mahu bertindak sewenang-wenangnya.
Selain itu, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 7,681 kes buli dicatat pada 2024, ia telah meningkat berbanding 6,528 kes pada 2023.
Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa angka ini diperoleh daripada sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dengan 1,992 kes berlaku di sekolah rendah manakala 5,689 kes di sekolah menengah.
Statistik ini adalah amat membimbang kerana dapat merosakkan aset negara yang bakal tumbuh pada masa hadapan.
Selain kes buli, laporan polis turut mencatat insiden jenayah serius melibatkan remaja seperti kes rogol di Melaka dan Baling.
Negara telah dikejutkan dengan kes rogol yang berlaku di Melaka melibatkan 4 pelajar di sebuah sekolah di Melaka dan mereka di buang sekolah serta- merta.
Belum habis daripada itu, timbul pula kes jenayah rogol secara berkumpulan di Baling yang melibatkan pelajar yang berusia antara 15 hingga 17 tahun pada Oktober lalu.
Hal ini menunjukkan bahawa sahsiah diri pelajar pada zaman ini amatlah keterlaluan sehingga sanggup melakukan perkara yang sedimikian.
Isu moral dan keselamatan pelajar ini menjadi perhatian dan tumpuan kerana dikhuatiri akan berlaku lagi di masa yang akan datang jika tidak dibendung dengan tegas oleh pihak yang bertanggungjawab.
Selain jenayah seksual, aktiviti lumba haram juga amatlah dikhuatiri apabila anak-anak ini mula untuk mengikutinya dan menjadikannya sebagai hobi yng membahayakan diri dan masyarakat sekitar.
Menurut kes lalu, beberapa remaja, termasuk dua beradik, ditahan lewat malam kerana dipercayai terlibat dalam perlumbaan motosikal berbahaya di Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai.
Menurut pihak polis, remaja terbabit mendakwa mereka sekadar ingin mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan tahun lalu.
Namun, tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan pengguna jalan raya lain.
Seterusnya, anak-anak juga dibimbangi menyertai anggota kongsia gelap yang membahayakan diri sendiri.
Pada November 2024, seramai 61 individu, termasuk 14 pelajar sekolah, ditahan dalam satu serbuan polis terhadap upacara angkat sumpah sebuah kumpulan kongsi gelap di Salak Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Serbuan tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas menerima maklumat mengenai penglibatan remaja dalam aktiviti jenayah terancang.
Jika ibu bapa tidak ambil kisah, anak-anak ini akan terlibat dengan jenayah yang lebih buruk lagi.
Fenomena penglibatan remaja dalam lumba haram dan aktiviti kongsi gelap ini membuka tirai kepada realiti yang lebih membimbangkan. Ia bukan sekadar isu salah laku, tetapi cerminan kegagalan sosial yang semakin menular.
Ramai remaja mula ponteng sekolah, menghabiskan masa melepak tanpa tujuan, dan menjadikan rakan sebaya berpengaruh negatif sebagai model ikutan.
Apabila rutin harian mereka tidak lagi dipenuhi dengan aktiviti sihat, minda dan emosi mudah terarah kepada perkara yang merosakkan. Kesannya, prestasi akademik merudum, keyakinan diri hilang, dan kemampuan berfikir secara matang semakin melemah.
Dalam masa sama, proses pembentukan jati diri, kepimpinan, serta disiplin yang sepatutnya berkembang pesat pada usia remaja hampir tidak berlaku.
Lebih membimbangkan, jika gejala ini tidak dibendung, negara bakal berhadapan dengan krisis generasi muda yang hilang arah, tidak berdikari, serta lemah daya tahan mental.
Remaja yang terjerumus ke dalam kegiatan negatif pada usia muda ini berisiko tinggi terus melanjutkannya hingga dewasa dengan terlibat dalam gengsterisme, penyalahgunaan dadah, jenayah harta benda, dan kegiatan samseng jalanan.
Dari sudut ekonomi, implikasinya jauh lebih besar. Generasi muda yang tidak produktif akan menjadi beban kepada sistem pendidikan, sistem kesihatan, dan keselamatan negara.
Kadar jenayah yang meningkat pula menghakis keyakinan pelabur, melemahkan pembangunan industri, serta menggugat reputasi Malaysia sebagai negara yang stabil untuk pertumbuhan jangka panjang.
Oleh itu, fenomena ini bukan lagi isu terpencil. Ia adalah isyarat bahaya bahawa negara sedang berdepan kebimbangan besar, iaitu kehilangan generasi muda yang sepatutnya menjadi penggerak masa depan bangsa dan negara ke arah yang lebih baik.
Keadaan ini memberi tekanan besar kepada sistem pendidikan apabila guru terpaksa berdepan pelajar yang sukar dikawal.
Seterusnya, masalah ini terbawa ke alam pekerjaan apabila majikan berdepan pekerja muda yang tidak tahan tekanan, cepat berhenti kerja, dan kurang komitmen.
Fenomena ini secara tidak langsung menjejaskan kelancaran industri serta pembangunan ekonomi negara.
Namun, rumah bukan satu-satunya komponen untuk mendidik mereka ini, Pelbagai pihak mesti berganding bahu menyelesaikan masalah ini.
Contohnya, pihak sekolah, komuniti dan agensi kerajaan mesti digerakkan secara serentak untuk menangani krisis ini daripada terus membarah lagi.
Sekolah perlu menyediakan modul kepimpinan yang lebih menarik dan relevan dengan realiti semasa agar dapat melatih jati diri pelajar untuk membuat keputusan bijak, meningkatkan keyakinan diri, dan mengurus tekanan.
Pihak kaunseling pula tidak boleh bersifat pasif, ia perlu dijalankan secara proaktif kepada pelajar berisiko tinggi, bukan sekadar menunggu mereka untuk hadir sesi kaunseling supaya mereka diberi kesedaran agar berifikiran jitu dan kritis.
Program mentor–mentee bersama guru, alumni, atau sukarelawan profesional boleh membuka mata remaja terhadap hala tuju positif dalam hidup ini.
Remaja-remaja emas ini memerlukan contoh teladan yang sebenar, iaitu seseorang yang boleh menunjukkan bahawa kejayaan tidak datang melalui jalan pintas seperti gengsterisme atau lumba haram. Namun kejayaan hadir dengan fikiran yang positif dan matang.
Komuniti dan NGO boleh memainkan peranan penting melalui bengkel keibubapaan dengan penerangan berkaitan pengurusan emosi anak, dan pendidikan mengenai bahaya pendedahan awal terhadap aktiviti yang berisiko.
Ibu bapa yang sedar dan peka mampu melindungi anak mereka daripada bahaya zaman sekarang.
Agensi kerajaan juga perlu menambah baik program intervensi remaja, menyediakan aktiviti alternatif seperti kelab belia, sukan komuniti, latihan kemahiran, dan peluang kerjaya awal.
Apabila remaja mempunyai ruang positif untuk meluahkan tenaga dan minat, kecenderungan mereka ke arah kegiatan negatif akan menurun.
Tanpa intervensi segera dan kerjasama menyeluruh daripada seluruh ekosistem rumah, sekolah, masyarakat, dan kerajaan, negara ini berisiko tinggi untuk kehilangan modal insan berkualiti yang sepatutnya menjadi pemacu utama masa depan sosial dan ekonomi negara.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Faiz Nasrullah Mohd Jasri
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli