Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang maut selepas kereta dinaiknya terjunam di dalam tasik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, pernah menyuarakan hasrat untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah sebaik menamatkan pengajian.
Saida Sulaiman, 51, berkata, anaknya Muhammad Amidee Abdullah, 25, sering mengungkapkan hasrat murni itu kepadanya dan suami, Abdullah Mokhtar, 59.
"Saya terkilan apabila arwah tidak sempat memenuhi hasrat itu kerana dia pergi dahulu daripada kami. Muhammad Amidee seorang anak yang baik dan sangat rapat dengan keluarga," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Pondok Hidayah.
Saida berkata, setiap hari beliau akan mengejutkan Muhammad Amidee untuk ke kelas kerana anak ketujuhnya itu berulang-alik dari rumah ke kampus UMK Jeli.
Beliau berkata, Allahyarham sedang menyambung pengajian dalam bidang mineralogi di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi serta dijangka menamatkan pengajian tahun depan.
"Kali terakhir saya bertemu arwah jam 10 pagi sebelum anak saya itu ke UMK. Ketika itu arwah sempat bersalam dan mencium tangan saya seperti kebiasaannya, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, beliau bergegas ke Hospital Jeli sebaik sahaja menerima panggilan daripada pihak UMK pada jam 6.50 petang yang memaklumkan Muhammad Amidee terlibat kemalangan.
Beliau berkata, kali terakhir bertemu anaknya itu ketika Allahyarham sedang bersiap untuk ke kampus.
"Sebelum pergi ke kampus, dia (Muhammad Amidee) juga mahu membeli barangan keperluan menggunakan kad pengenalan (Bantuan Sumbangan Asas Rahmah) untuk ahli keluarga," katanya.
Allahyarham Muhammad Amidee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chawas pada jam 11.30 pagi, dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan kakitangan UMK.
Muhammad Amidee, seorang pelajar PhD UMK maut manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di UMK, Kampus Jeli. - Bernama