Dari TikTok ke peti undi: Gelombang politik generasi Z di Sabah

Iklan
Gambar hiasan

Gelombang penglibatan politik di kalangan generasi z Sabah kini lebih berlapis daripada sekadar aktivisme digital; ia merupakan pertembungan antara budaya kandungan singkat, jaringan komuniti maya, dan tuntutan realiti sosioekonomi.

Menurut Graeme Codrington & Sue Grant-Marshall, Penguin (2004), Generasi Z merupakan mereka yang lahir pada tahun 1995-2010.

Iklan
Iklan

Dalam konteks politik di Sabah, Generasi Z, iaitu golongan yang lahir antara akhir 1990‑an hingga 2010 dan kini berumur sekitar 14 hingga 27 tahun di Malaysia mereka bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi telah muncul sebagai pemilih aktif yang berperanan besar dalam menentukan hala tuju negeri.

Hal ini terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke‑17 pada 29 November 2025, yang memperlihatkan bagaimana suara dan penglibatan generasi ini semakin menonjol dalam landskap politik tempatan.

Iklan

Selanjutnya, laporan lapangan mencatatkan keterujaan yang ketara dalam kalangan pengundi muda, khususnya mereka yang pertama kali menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi.

Testimoni yang dikongsikan memperlihatkan pengalaman emosi, rasa bangga, serta keyakinan terhadap proses demokrasi, menandakan wujudnya kesedaran politik yang semakin mendalam di peringkat akar umbi.

Iklan

Fenomena ini mencerminkan peralihan penting dalam budaya politik Generasi Z Sabah, daripada sekadar pemerhati kepada pelaku aktif dalam menentukan masa depan negeri.

Statistik rasmi PRN Sabah menunjukkan kadar keluar mengundi keseluruhan sekitar 64.35%, angka yang signifikan untuk menilai tahap mobilisasi pengundi.

Apabila diteliti secara demografi, lebih 45 peratus daripada daftar pemilih Sabah terdiri daripada golongan berumur 18–40 tahun, sekali gus menegaskan bahawa Generasi Z merupakan blok pengundi yang berpotensi besar dalam menentukan arah keputusan pilihan raya negeri.

Data ini menekankan bahawa suara Generasi Z bukan lagi sekadar latar, tetapi kini menjadi faktor dominan dalam landskap politik tempatan.

Implikasi daripada dapatan ini jelas menunjukkan penglibatan Generasi Z tidak boleh lagi dianggap sebagai faktor sampingan. Sebaliknya, ia muncul sebagai penentu dalam kerusi kompetitif dan pembentukan landskap politik Sabah secara keseluruhan.

Kehadiran mereka di pusat mengundi bukan sahaja mencerminkan keterlibatan individu, tetapi juga menunjukkan bagaimana mobilisasi digital, jaringan komuniti, serta isu-isu setempat berjaya diterjemahkan kepada tindakan kolektif yang memberi kesan langsung terhadap keputusan pilihan raya.

Tidak dapat dinafikan bahawa, media sosial memainkan peranan penting dalam pendidikan politik kerana ia menawarkan akses maklumat yang pantas dan meluas, yang membantu membentuk kesedaran politik generasi muda.

Menurut Penganalis politik, Dr. G. Manimaran (2025), selepas menjadi tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia, beliau berkata, kalau kita melihat kajian IDE yang dikeluarkan minggu lepas selepas penerimaan calon, lebih kurang 60 peratus pengundi bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat.

Selain itu, menurut Dr Haryati Abdul Karim, Penyelidik Unit Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) di Universiti Malaysia

Sabah (UMS) berkata, ini tidak mengejutkan kerana media sosial kini menjadi sumber utama maklumat, terutamanya untuk generasi muda.

Selain itu, terbukti bahawa influencer tempatan, kempen digital dan kandungan viral adalah faktor utama dalam menggerakkan perbincangan politik generasi Z.

Pertempuran PRN Sabah ke-17 berlaku dalam dunia maya. Strategi komunikasi digital dan naratif kreatif digunakan untuk mendapatkan sokongan dan membentuk pendirian politik.

Fenomena ini menunjukkan bahawa penglibatan belia tidak lagi dilihat sebagai komponen tambahan. Sebaliknya, ia boleh menjadi komponen strategik yang boleh membentuk pilihan raya dan landskap politik Sabah pada masa hadapan.

Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik adalah komponen struktural yang meningkatkan penglibatan Generasi Z dalam PRN Sabah ke-17. Reformasi ini telah meningkatkan bilangan pengundi muda, terutamanya mereka yang berumur antara 18 dan 20 tahun.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat lebih 1.4 juta pengundi dalam kategori ini di Malaysia, yang merupakan hampir 7 peratus daripada jumlah pemilih yang didaftarkan di negara ini.

Sabah mempunyai populasi yang lebih muda, menjadikan Undi18 lebih ketara di sana (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, 2025). Secara keseluruhan, penglibatan Generasi Z dalam PRN Sabah ke-17 menunjukkan perubahan politik yang ketara.

Generasi muda kini menjadi lebih daripada sekadar pemerhati; mereka kini aktif dalam perubahan melalui sebab-sebab seperti pendidikan politik melalui media sosial, kebimbangan terhadap kestabilan politik, isu ekonomi tempatan, dan pelaksanaan Undi 18.

Kehadiran mereka di pusat mengundi menunjukkan kesedaran politik yang semakin meningkat, manakala penggunaan media sosial sebagai platform mobiliti menunjukkan bahawa pendekatan komunikasi digital semakin penting dalam pilihan raya.

Dengan kira-kira separuh daripada daftar pemilih terdiri daripada golongan berumur 18 hingga 40 tahun, adalah jelas bahawa suara belia akan terus memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan politik Sabah.

 

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu, Mohammad Fauzy Mohammad Yunus

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli