Adakah anda akan terkejut sekiranya saya memberitahu anda bahawa falsafah akan menjadi bidang yang semakin relevan pada abad ke-21 ini, baik dari segi praktikaliti mahupun pekerjaan?
Ya, itulah hakikatnya!
Bidang falsafah menawarkan pembelajaran yang lebih bersifat meluas, tidak kurang juga yang mendalam. Adakah ini satu kekurangan kerana tidak berfokus pada satu-satu kepakaran?
Tidak juga, David Epstein dalam bukunya, Range: Why Generalist Triumph in a Specialized World berhujah, menjadi specialist bukanlah satu-satunya cara untuk berjaya, sebaliknya seorang generalist juga menawarkan kelebihan yang menakjubkan, apatah lagi menurut Epstein sendiri, mereka yang generalist mampu menyelesaikan masalah dengan lebih baik berbanding specialist!
Kajian terbaru oleh Prinzing dan Vazquez (2025) yang diterbitkan dalam Journal of the American Philosophical Association menunjukkan bahawa rata-rata lulusan falsafah adalah pemikir yang lebih baik, mereka lebih ingin tahu dan lebih terbuka.
Sejak dari dulu lagi falsafah dikatakan berperanan dalam mempertajam daya fikir seseorang.
Pernyataan sebegini logik kerana dalam bidang falsafahlah seseorang itu mengkaji dan menyelidik satu-satu idea sampai ke akarnya.
Selagi jawapan yang diperoleh itu tidak kukuh, tidak rasional dan tidak mendalam, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa seseorang itu sudah “berfalsafah”.
Di Amerika Syarikat, mereka yang merupakan lulusan falsafah adalah lebih berprestasi dalam Graduate Record Examination dan Law School Admisstion Test, mengungguli lulusan bidang-bidang lain.
Rekod ini tidaklah aneh kerana bidang falsafah sendiri membawa seseorang menyelami dunia idea, bukan sahaja untuk memahami kemanusiaan, tetapi juga alam yang terbentang luas.
Mengapakah hal ini penting? Dalam dunia yang penuh dengan kecanggihan AI sekarang, manusia tidak seharusnya terlalu bergantung padanya. Kerana hakikatnya, AI itu sendiri bergantung pada apa yang diajar oleh manusia.
Manusia mestilah belajar untuk berfikir dengan jelas dan kritis. Jadilah bangsa yang mampu mengkritik output AI, bukannya semata-mata mengikutinya secara membuta tuli.
Bagaimanakah kita boleh menjadi pemikir yang kritis? Mulakan dengan mempelajari falsafah dan cabang-cabangnya: epistemologi, ontologi, logik, etika dan seterusnya.
Apabila kita mempunyai asas berfikir yang kukuh, barulah tidak mudah apa sahaja untuk masuk ke dalam otak kita tanpa disaring terlebih dahulu. Proses “penyaringan” hanya boleh direalisasikan setelah kita mendalami falsafah.
Bagi negara China, falsafah telah menjadi sebahagian besar penyumbang kepada kemajuannya.
Ini adalah kesimpulan yang disepakati dalam simposium Chinese Path to Modernization and Philosophy yang dianjurkan oleh Chongqing Philosophy Society di The Southwest University of Political Science and Law (SWUPL), Chongqing, pada tahun 2023.
China telah memperkenalkan falsafah modenisasinya yang tersendiri, alternatif kepada mitos modeniti monistik yang diamalkan oleh dunia Barat. China lebih ke arah modeniti pluralistik.
Ini membuktikan falsafah adalah elemen sangat penting dan mencapah kepada banyak domain termasuklah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Dengan itu, falsafah akan menjadi satu bidang yang terus relevan pada abad ke-21 ini dan seterusnya.
Dari segi pekerjaan, ramai majikan telah nampak kerelevanan bidang falsafah yang tidak boleh dinafikan.
Mark Cuban, seorang bilionair teknologi dari Amerika Syarikat, pada tahun 2017, tatkala ditemu bual oleh AOL, beliau menghadiahkan satu ramalan, katanya, 10 tahun dari sekarang (dari 2017), ijazah falsafah akan menjadi lebih berbaloi berbanding ijazah pengaturcaraan.
Tidak sampai 10 tahun pun, SES Survey aggregated 2019-2020 dari Australia membentangkan data bahawa lulusan falsafah di sana menjadi lebih berkerjaya berbanding bidang-bidang yang kebiasaannya lebih popular seperti ekonomi.
Lulusan falsafah lebih memperoleh pekerjaan yang memuaskan, gaji yang setimpal, tangga kerjaya yang jelas dan seumpamanya. Ini bukan sahaja berlaku di Australia, malah Amerika Syarikat sendiri pun sudah menampakkan hasil yang sama.
Memang benar AI boleh melakukan banyak kerja manusia, tetapi walau apa pun tidak dunia, haruslah dengan sentuhan manusia. AI tidak akan boleh lawan kritisnya otak dan empatinya perasaan manusia. Ini hanya boleh berlaku dengan menjadi manusia.
Dari keusahawanan, sudah banyak usahawan berjaya di seluruh dunia mengkreditkan kejayaan mereka kepada latar belakang falsafah mereka seperti Reid Hoffman, Peter Thiel dan Carly Fiorina.
Nampaknya, bukan sahaja dari segi keintelektualan, falsafah juga membantu dalam melahirkan usahawan yang kaya raya!
Nicholas Miller (2017) dalam artikelnya 5 Reasons Why Philosophy Majors Make Great Entrepreneurs, lima sebab lulusan falsafah boleh menjadi usahawan berjaya:
(1) Mereka suka berdebat untuk memperoleh jawapan yang paling baik, (2) mereka selesa dengan ketidakselesaan kerana ketidakselesaan lazimnya membawa kepada perkembangan, (3) mereka melihat dengan kaca mata yang besar meskipun tidak tertinggal hal-hal kecil yang terperinci, (4) mereka mampu mengawal emosi supaya emosi tidak mengatasi kerasionalan dalam membuat keputusan, apatah lagi keputusan besar, dan (5) mampu memecahkan masalah yang kompleks.
Maka dengan itu, jadilah seorang ahli falsafah di peringkat peribadi! Mulakan dengan berfikir secara kritis dan reflektif.
Ingat apa yang diperkatakan oleh Socrates, “The unexamined life is not worth living,” mulakan dengan berintropeksi tentang kehidupan sendiri, kemudian berkembanglah dari situ sehingga menyentuh domain-domain lebih besar seperti politik.
Falsafah sudah lama menyinari tamadun manusia dan falsafah terus berbuat demikian.
Maklumat penulis:
Pensyarah Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa dan Kebudayaan ASEAN, Universiti Minzu Guangxi, Nanning, China, Sadiq Salihoddin