Cikgu John bersara! Kenangan, jasa & kasihnya akan terus hidup

Iklan
Cikgu John (tengah) merupakan seorang pendidik yang menabur bakti dengan penuh dedikasi, kesabaran dan keikhlasan sepanjang perkhidmatannya.

Walaupun Cikgu John sudah bersara, namun segala memori dan jasa beliau tetap terpahat kukuh di hati seluruh warga sekolah.

Itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila menyaksikan majlis persaraan Guru Akademik Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, Kuching, Sarawak, Cikgu John Anak Rudi baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Suasana pilu jelas terasa apabila guru-guru dan para pelajar kelihatan seakan tidak mahu melepaskan beliau pergi.

Namun atas faktor kesihatan serta keinginan untuk lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga, Cikgu John akhirnya memilih untuk bersara pilihan pada usia 58 tahun.

Iklan

"Semoga persaraan Cikgu John ini menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih tenang, sihat dan bermakna bersama keluarga tercinta," kongsi admin Facebook SMK Matang Jaya dalam satu hantaran.

Menurut pihak sekolah, Cikgu John merupakan seorang pendidik yang menabur bakti dengan penuh dedikasi, kesabaran dan keikhlasan sepanjang perkhidmatannya.

Iklan

"Perwatakannya yang sentiasa ceria dan rendah diri menyebabkan beliau mudah didekati rakan guru serta para pelajar. Malah, senyuman tidak pernah lekang di wajahnya dan belum pernah sekali pun beliau meninggikan suara ketika melayan karenah sesiapa," tambah hantaran tersebut.

Selain disenangi ramai, Cikgu John juga aktif dalam bidang sukan seperti hoki dan badminton serta memiliki bakat bermain alat muzik.

Untuk rekod, Cikgu John yang berketurunan Bidayuh berasal dari Kampung Bawang Git, Puncak Borneo.

Beliau memulakan perjalanan pendidikannya di Sekolah Rendah Bantuan Chung Hua Sungai Apong sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) St Giles Git, Sekolah Menengah Kebangsaan Penrisen No 1 dan SMB St Thomas Kuching.

Seterusnya, beliau meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Semariang, Ijazah Sarjana Muda, Universiti Malaya dan Ijazah Lanjutan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Beliau kemudian melengkapkan kelayakan perguruan melalui Diploma Perguruan di Maktab Perguruan Rajang, Bintangor.

Sepanjang kariernya, Cikgu John telah berkhidmat di enam buah sekolah, bermula dengan penempatan pertamanya di SK Semban dan berakhir di SMK Matang Jaya, tempat di mana beliau dikenang sebagai guru yang lembut tutur kata dan besar budinya.

Akhir sekali, Sinar Bestari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu John atas segala jasa, pengorbanan dan ilmu yang telah dicurahkan.

Semoga Cikgu John terus diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan melalui fasa kehidupan seterusnya dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga tersayang.

Terima kasih, cikgu. Jasamu kekal hidup dalam ingatan.