Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi utama di negeri ini sepanjang 24 tahun penubuhannya.
Bukan sahaja sebagai pusat pengembangan ilmu, malah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Pendaftar UniMAP, Norsyahiza Hamzah berkata, universiti itu yang bermula sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) kini berkembang pesat selari dengan tuntutan semasa, sekali gus menjadi nadi penting pembangunan Perlis.
Menurutnya, komitmen tinggi warga UniMAP dalam memperkasa bidang teknikal dan kejuruteraan menjadikan universiti itu terus relevan, setanding institusi lain di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.
"Dalam tempoh lebih dua dekad, UniMAP berjaya melahirkan puluhan ribu graduan berkualiti tinggi yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor.
"Mereka inilah yang menjadi duta universiti serta penyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata, hubungan erat antara universiti dan komuniti turut diperkukuhkan menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial, aktiviti kesukarelawanan dan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta industri.
Menurutnya, universiti itu telah membuka peluang untuk kepada warga Perlis untuk mencurah bakti di negeri sendiri dan 33 peratus daripada keseluruhan staf yang sedang berkhidmat adalah merupakan anak jati negeri ini.
"UniMAP bukan hanya gedung akademik, tetapi rakan pembangunan negeri. Kehadiran kampus-kampus UniMAP di beberapa lokasi di Perlis membentuk ekosistem ekonomi setempat yang berjaya merancakkan aktiviti perniagaan, perumahan dan perkhidmatan," ujarnya.
Norsyahiza menambah, universiti itu akan terus memacu agenda kecemerlangan melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi serta pemindahan ilmu bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.
Jelasnya, menjelang usia suku abad penubuhannya, UniMAP mahu memperkukuh kedudukan sebagai universiti teknikal yang unggul bagi menghadapi era Revolusi Industri 5.0 dan perkembangan kecerdasan buatan agar selari dengan keperluan industri nasional serta global.
"Walaupun cabaran terus berubah, UniMAP komited untuk memperkukuh keupayaan penjanaan ilmu dan teknologi.
"Kami berhasrat melonjak lebih jauh sebagai universiti teknikal terulung di Malaysia," katanya lagi.
Menurutnya, sebagai universiti yang bertapak dalam negeri kecil tetapi kaya dengan potensi, UniMAP berpeluang menjadi pusat kecemerlangan yang memacu transformasi sosial dan ekonomi setempat.
Perkembangan tersebut dijana melalui pelbagai program seperti pemindahan ilmu, keusahawanan komuniti, pembangunan belia, inovasi desa dan projek lain yang bermanfaat untuk rakyat.
UniMAP memulakan pengambilan sulung pelajarnya pada 20 Jun 2002 dengan jumlah pelajar 119 orang dan kini universiti itu telah mempunyai seramai 14,851 orang pelajar.
Bagi melaksanakan operasinya, UniMAP memiliki 2,079 orang staf yang terdiri daripada 1,115 orang staf akademik, 221 orang staf pentadbir dan 743 orang staf pelaksana.