Pelajar maut dirempuh motosikal di kampus UiTM Machang

Iklan
Seorang pelajar perempuan UiTM Cawangan Machang maut selepas dilanggar sebuah motosikal di kawasan kampus berkenaan petang Sabtu. Foto IPD Machang

Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan maut selepas dilanggar sebuah motosikal di kawasan kampus berkenaan, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu daripada orang awam pada jam 6.40 petang dan mangsa yang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama.

"Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai telah melintas jalan secara mengejut yang menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pejalan kaki berkenaan terjatuh ke atas pembahagi jalan dan cedera pada bahagian kepala.

Ahmad Shafiki berkata, mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat manakala kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, katanya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adam melalui talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang 09-9751222. - Bernama