Muhamad Nashrul rangkul pingat emas & penerima Best of Nation! 'Dia juga pelajar cemerlang, raih Anugerah Dekan setiap semester'

Iklan
Dari kiri: Dr Ahmad Tarmizi, Muhamad Nashrul, Mohamad Fazil dan Ts Muhammad Syaiful sama-sama meraikan kejayaan pelajar KKTM Sri Gading yang merangkul pingat emas dan Best of Nation baru-baru ini.

Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan (Pemodelan Maklumat Bangunan) / Building Information Modelling (BIM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Johor, Muhamad Nashrul Zulkifli, 21, kini menjadi kebanggaan negara setelah merangkul pingat emas dan dinobatkan Best of Nation di WorldSkills Asia Taipei 2025.

Menurut Pegawai Latihan Vokasional, Jabatan BIM, KKTM Sri Gading, Mohamad Fazil Jamaluddin, 35, kejayaan anak kelahiran Ayer Hitam, Johor itu amat membanggakan dan menggembirakan semua pihak.

Iklan
Iklan

"Saya kenal Muhamad Nashrul sudah lama. Dia pendiam tetapi tenang, sifat yang menjadikannya ketua kelas yang dihormati.

"Dia juga rajin, cepat belajar dan cemerlang akademiknya di mana sering mendapat Anugerah Dekan setiap semester. Jadi kejayaannya meraih pingat emas memang luar biasa," ujarnya.

Iklan

Menurut Fazil, kejayaan Muhamad Nashrul dalam bidang Digital Construction adalah hasil daripada usaha tanpa mengenal penat lelah.

Iklan

"Digital Construction adalah satu kaedah moden dalam industri pembinaan untuk mereka bentuk, membina dan mengurus sesuatu projek menggunakan model digital (3D) dan maklumat yang lengkap.

"Ia membolehkan semua pihak seperti jurutera, arkitek dan kontraktor berkongsi serta mengemas kini maklumat projek pada setiap peringkat pembinaan," katanya.

Sambung Mohamad Fazil, Digital Construction bukanlah bidang yang mudah untuk dikuasai kerana ia menuntut kefahaman mendalam terhadap teknologi digital, analisis data serta integrasi sistem pembinaan moden.

Namun begitu, anak muda berkenaan berjaya menempuh cabaran tersebut dengan penuh disiplin dan ketekunan.

Sementara itu, Mohamad Fazil turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang menyokong Muhamad Nashrul, termasuk Pakar Negara, Ts Muhammad Syaiful Safwan Nordin; Ketua Pakar Negara, Profesor Madya Dr Ahmad Tarmizi Haron, masing-masing dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), warga KKTM serta ibu bapa beliau, Zulkifli Sabtu dan Nor Azliha Shuhadak.

"Kini, Muhamad Nashrul sedang bekerja di Jurutera JRK Sdn Bhd, Johor Bahru dan mengaplikasikan ilmu BIM secara profesional dalam kerjayanya.

"Saya berharap kisah pelajar KKTM Sri Gading ini menjadi inspirasi generasi muda,” ujarnya.

Akhir sekali, Mohamad Fazil memberi pandangan peribadinya tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mampu melahirkan profesional bertaraf tinggi yang setanding bidang akademik lain," ujar beliau lagi.