Resolusi tangani disiplin pelajar di Melaka termasuk rotan diharap dilaksana tahun depan

Iklan
Rahmad berkata, cadangan pelaksanaan resolusi itu telah dibawa pada peringkat Kementerian Pendidikan dan ia kini dalam peringkat penelitian secara menyeluruh pihak berkenaan.

Kerajaan Negeri Melaka berharap kesemua cadangan pelaksanaan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar termasuk hukuman rotan terhadap mereka yang terlibat dalam salah laku seperti buli dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan pelaksanaan resolusi itu telah dibawa pada peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan ia kini dalam peringkat penelitian secara menyeluruh pihak berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pelaksanaan kesemua resolusi itu adalah persetujuan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti serta Rakan Strategik Pendidikan Negeri dan kalau KPM tiada halangan terhadap pelaksanaan kesemua resolusi itu, kita akan melaksanakannya pada tahun hadapan.

"Sebagai contoh, hukuman rotan akan dilakukan dengan beberapa syarat iaitu hanya di telapak tangan atau punggung dan hanya pelajar lelaki sahaja boleh dirotan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Aspresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Sesi Akademik 2025 melibatkan 143 murid daripada sekolah berkenaan di negeri itu.

Rahmad berkata, selain itu, kira-kira 3,000 pelajar dan murid sekolah rendah serta menengah di Melaka direkodkan ponteng sekolah sehari dan isu itu perlu ditangani menerusi resolusi pendidikan berkenaan yang menggariskan cadangan menarik hak sebagai penerima bantuan pendidikan bagi golongan itu seperti biasiswa, bantuan awal persekolahan dan dermasiswa.

Iklan

Beliau berkata, kebanyakan alasan ponteng ialah sikap malas, kurang pemantauan ibu bapa selain pelajar memilih bekerja sambilan daripada mengutamakan persekolahan dan alasan demam atau sakit pula gagal mengemukakan sijil cuti sakit.

Pada Sabtu lepas, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengemukakan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin mereka.

Resolusi itu adalah hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri pada 12 dan 13 Dis lepas. - Bernama