Ab Rauf (duduk, tengah) bersama para peserta selepas perasmian Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Melaka bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan.
Ab Rauf (duduk, tengah) bersama para peserta selepas perasmian Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Melaka bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan.

Melaka kemuka 10 resolusi perkukuh disiplin, sahsiah pelajar

13 Dec 2025 11:24pm

Kerajaan Melaka mengemukakan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu merupakan antara dapatan penting hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri selama dua hari. 

"Konvensyen yang menghimpunkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan itu, telah merumuskan 10 resolusi utama yang akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan sebagai syor penambahbaikan dasar dan pelaksanaan pendidikan pada peringkat nasional.

"Antara resolusi yang dipersetujui ialah penguatkuasaan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membiarkan anak ponteng sekolah, kerana sikap lepas tangan tidak boleh dinormalisasikan dalam pembentukan sahsiah pelajar," katanya kepada media.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian konvesyen itu dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mahfudzah Mohamed Noor.

Ab Rauf berkata, resolusi lain termasuk mewajibkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada semua murid sekolah rendah di Melaka, selain menjadikan ketua jabatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sebagai bapa angkat kepada sekolah bagi memantau disiplin pelajar.

Beliau berkata, konvensyen itu turut mencadangkan sekatan terhadap aplikasi digital yang memberi pengaruh negatif kepada pelajar, agar kandungan toksik tidak menjadi "guru kedua" yang menjejaskan pembentukan sahsiah anak-anak.

Selain itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri, mengesyorkan penguatkuasaan larangan penjualan vape dan rokok, atau mengehadkan lokasi jualannya dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan sekolah.

"Antara resolusi lain ialah penarikan hak sebagai penerima bantuan pendidikan terhadap pelajar yang ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin tegar, serta pembangunan sistem bersepadu digital berkaitan psikososial dan kesihatan mental pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga mencadangkan penyertaan wajib pelajar dalam program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada peringkat sekolah sebagai usaha membentuk disiplin, jati diri dan semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar," katanya.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan pembangunan dasar dan pekeliling baharu yang lebih komprehensif di bawah Pelan Disiplin Pelajar atau Anak Melaka (PDAM), selari dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, PDAM akan berfungsi sebagai dokumen strategik negeri dan prosedur operasi standard (SOP), yang menyatukan semua inisiatif pembentukan sahsiah dan disiplin pelajar dalam satu kerangka pelaksanaan yang tersusun dan berkesan.

Ketua Menteri itu berkata, matlamat akhir inisiatif itu ialah memastikan Melaka bersedia menjadi negeri rintis dan model nasional, dengan pembangunan sahsiah, akhlak dan disiplin pelajar dilaksanakan seiring dengan kecemerlangan akademik. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Melaka mengemukakan 10 resolusi utama untuk pendidikan termasuk pelaksanaan hukuman rotan dengan kebenaran ibu bapa
  • Cadangan itu hasil dari Konvensyen Khas dengan PIBG, komuniti dan rakan strategik pendidikan
  • Antara resolusi lain termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap ibu bapa yang membiarkan anak ponteng dan mewajibkan Kelas Al-Quran untuk murid sekolah rendah
  • Cadangan juga termasuk sekatan aplikasi digital berpengaruh negatif dan penguatkuasaan larangan penjualan vape dan rokok dekat sekolah
  • Tujuan inisiatif ini adalah menjadikan Melaka model nasional dalam pembangunan sahsiah, akhlak dan disiplin pelajar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp