Cuti sekolah bermula esok, 19 Disember 2025. Bagi anak-anak diperingkat sekolah rendah mahupun menengah, inilah masa yang dinanti-nantikan untuk berehat daripada rutin persekolahan.
Namun bagi ibu bapa, cuti sekolah sepatutnya menjadi tempoh lebih berwaspada, khususnya terhadap penggunaan gajet dan peningkatan masa skrin (screen time) yang sering tidak terkawal.
Jika tidak ditangani dengan serius, cuti sekolah boleh bertukar menjadi musim ketagihan gajet yang memberi kesan besar kepada kesihatan mental dan perkembangan psikologi anak-anak.
Kebimbangan utama bukan terletak pada penggunaan gajet itu sendiri, tetapi pada penggunaan berlebihan tanpa kawalan, tujuan dan bimbingan. Realitinya, semasa cuti sekolah, gajet sering menjadi ‘pengasuh senyap’ yang menenangkan anak-anak, khususnya apabila ibu bapa sibuk bekerja.
Anak yang duduk diam berjam-jam di hadapan skrin sering dianggap tidak mendatangkan masalah, sedangkan kesan psikologinya berlaku secara perlahan dan senyap.
Bagi murid sekolah rendah, pendedahan berlebihan kepada skrin memberi kesan langsung kepada perkembangan otak, emosi dan sosial. Kanak-kanak pada usia ini memerlukan rangsangan fizikal, interaksi sosial dan pengalaman dunia sebenar untuk membina asas perkembangan yang sihat.
Apabila terlalu lama terdedah kepada gajet, mereka cenderung menjadi cepat bosan, mudah marah, sukar mengawal emosi dan kurang keupayaan berinteraksi secara berkesan dengan orang lain.
Dari sudut psikologi, penggunaan gajet yang berlebihan juga menjejaskan keupayaan kanak-kanak menangguhkan kepuasan (delayed gratification). Permainan dan video yang pantas merangsang otak menyebabkan anak-anak sukar bersabar dan kurang fokus apabila kembali ke sekolah.
Itulah antara punca mengapa sesetengah murid menjadi resah, cepat putus asa dan tidak tahan dengan tugasan akademik yang memerlukan usaha berpanjangan.
Bagi remaja pula, isu ini lebih kompleks dan membimbangkan. Remaja sedang berada dalam fasa pembentukan identiti dan kestabilan emosi. Ketagihan gajet, khususnya media sosial dan permainan dalam talian, meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti keresahan, tekanan emosi, perasaan rendah diri dan gangguan tidur.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa pendedahan berlebihan kepada kandungan digital meningkatkan perbandingan sosial yang tidak sihat, seterusnya menjejaskan kesejahteraan diri remaja.
Lebih membimbangkan, sebahagian remaja menggunakan gajet sebagai mekanisme melarikan diri daripada emosi negatif seperti bosan, kesunyian atau konflik keluarga. Jika keadaan ini dibiarkan, mereka berisiko membina kebergantungan emosi terhadap skrin.
Dalam jangka panjang, remaja menjadi kurang berkemahiran mengurus emosi sebenar dan sukar membina hubungan interpersonal yang sihat.
Hakikat yang perlu diterima ialah gajet bukan musuh, tetapi ibu bapa yang gagal menetapkan sempadan adalah punca utama masalah ini. Cuti sekolah tidak bermakna semua peraturan perlu dilonggarkan. Sebaliknya, inilah masa terbaik untuk ibu bapa membina rutin digital yang sihat. Had masa skrin perlu ditetapkan dengan jelas, konsisten dan dipatuhi oleh semua ahli keluarga, termasuk orang dewasa.
Ibu bapa juga perlu beralih daripada pendekatan melarang semata-mata kepada pendekatan mendidik. Anak-anak perlu difahamkan mengapa penggunaan gajet perlu dikawal dan bagaimana ia mempengaruhi emosi, tidur dan kesihatan mental mereka. Perbualan terbuka dan berterusan jauh lebih berkesan daripada arahan keras tanpa penjelasan.
Sebagai alternatif, ibu bapa disarankan menyediakan aktiviti bermakna sepanjang cuti sekolah. Bagi murid sekolah rendah, aktiviti fizikal, permainan kreatif, membaca bersama keluarga dan tugasan rumah yang sesuai dapat mengurangkan kebergantungan kepada skrin.
Bagi remaja, penglibatan dalam aktiviti komuniti, sukan, kerja sukarela atau penerokaan minat baharu memberi ruang untuk mereka membina identiti positif dan keyakinan diri.
Cuti sekolah juga wajar dimanfaatkan sebagai masa membina hubungan emosi dalam keluarga. Interaksi bersemuka, perbualan santai dan aktiviti bersama bukan sahaja mengurangkan masa skrin, malah menjadi pelindung penting kepada kesihatan mental anak-anak. Anak yang berasa disokong dan difahami kurang cenderung mencari ketenangan palsu melalui skrin.
Kesimpulannya, cuti sekolah bukan alasan untuk mengabaikan kesejahteraan psikologi anak-anak. Ketagihan gajet bukan isu remeh dan tidak boleh ditangani secara sambil lewa. Ibu bapa perlu bertindak tegas, konsisten dan berpengetahuan. Mengawal gajet bukan bertujuan menyekat kebahagiaan anak-anak tetapi melindungi perkembangan mental, emosi dan sosial mereka.
Dalam dunia digital yang semakin mencabar, kesedaran tentang aspek psikologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan bagi membina generasi Malaysia yang sejahtera.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan di Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Fairuz Jafar. Beliau juga merupakan fellow penyelidik di Institut Kecemerlangan Guru dan Pemimpin Pendidikan (IETLE) UUM.