Budaya kecemerlangan terus mewarnai perjalanan Management and Science University (MSU) apabila Majlis Konvokesyen MSU ke-36, berlangsung penuh meriah di Dewan Canselor MSU pada 6 dan 7 Disember lalu.
Seramai 2,453 graduan daripada 128 program akademik menerima skrol masing-masing.
Pecahan graduan terdiri daripada 41 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 65 Sarjana, 1,517 Ijazah Sarjana Muda serta 830 graduan Diploma.
Tahun ini turut mencatat detik bersejarah dengan penganugerahan skrol kepada kohort sulung tiga program akademik iaitu Bachelor in Economics and Finance (Honours), Advanced Diploma in Midwifery dan Diploma in Music.
Majlis disempurnakan Canselor MSU, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Hadir memeriahkan majlis ialah Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Pro Canselor MSU, Profesor Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang; Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; ahli lembaga universiti serta pengurusan kanan MSU.
Majlis kali ini juga menyaksikan pelantikan Zaini sebagai Pro-Canselor MSU ke-2 yang terkenal dengan kepakaran luas dalam perkhidmatan awam, sektor pendidikan, tenaga, alam sekitar dan kesihatan, selain pengiktirafan pakar dalam kejuruteraan alam sekitar.
Lima kategori anugerah khas disampaikan kepada 70 penerima, merangkumi plak, wang tunai dan biasiswa daripada Yayasan MSU bagi pengajian lanjutan.
Antara penerima utama ialah Anugerah Pingat Emas Canselor, Theebana Durairajh; Anugerah Presiden, Nurin Amalia Kamarul Sahrin dan Nur Sabrina Malek; serta Mohd Shukri Yajid Outstanding Award bagi program Bachelor in Cardiovascular Technology (Honours), Wardena Ningseh Abdul Malek.
Seramai 37 graduan menerima Anugerah Akademik, manakala 29 graduan pula Anugerah Industri.
Dengan sokongan rakan industri dan keutuhan akademik, Konvokesyen MSU ke-36 menjadi simbol pencapaian cemerlang universiti dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi.