
Biasiswa MSU perkasa akses pendidikan
RM50 juta bantu pelajar B40 seluruh negara
Komitmen memperluas akses pendidikan berkualiti terus diperkukuh apabila Management and Science University (MSU) melancarkan Biasiswa Yayasan MSU sesi 2025/2026.
Ia membabitkan peruntukan bernilai RM50 juta, melibatkan 157 institusi pendidikan di seluruh negara.
Inisiatif menerusi Yayasan MSU dan MSU Engage itu, selari dengan Agenda Pendidikan Manusiawi di bawah Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030 yang menekankan akses, kesaksamaan dan pembangunan holistik murid tanpa mengira latar belakang atau lokaliti.
Sebanyak 144 sekolah menengah dan 13 institusi pengajian tinggi terpilih merangkumi politeknik, kolej MARA, kolej matrikulasi, kolej tingkatan enam, kolej vokasional serta institusi pendidikan Islam.
Program ini juga melibatkan institusi dari Selangor, Sarawak, Sabah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Melaka.
Biasiswa yang ditawarkan merangkumi tajaan penuh, separa dan bantuan kewangan bagi menyokong pelajar, khususnya kategori B40, bagi melanjutkan pengajian ke MSU.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, program biasiswa itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan bakat serta melahirkan pemimpin masa hadapan.
Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada bidang berimpak tinggi seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, Yayasan MSU menyediakan pelbagai skim penajaan termasuk President Scholarship, MSU Outstanding Rewards Scholarship, Scholarship Reward for Excellence dan Scholarship for Mobility and International Experiences.
Ringkasan AI
- RM50 juta bantu pelajar B40 seluruh negara
- Management and Science University (MSU) lancar Biasiswa Yayasan MSU sesi 2025/2026
- Ini melibatkan 157 institusi pendidikan termasuk sekolah menengah, politeknik dan kolej
- Inisiatif ini selaras dengan Agenda Pendidikan Manusiawi Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia 2024–2030
- Tumpuan diberikan kepada bidang seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)