Nama Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman pernah tular sekitar tahun 2022 apabila beliau mencipta dan mereka bentuk model roket bahan api pepejalnya sendiri.
Menggunakan perisian CAD Fusion 360, Muhammad Khawarizmi juga berjaya membangunkan aplikasi telefon pintar untuk mengawal pelancaran dan pergerakan roket ciptaannya itu.
Lebih mengagumkan, hasil kerjasama bersama bapa, Muhamad Kamalrul Zaman, Muhammad Khawarizmi turut menyiapkan pengaturcaraan untuk mesin analisis makmal dan proses penghasilan bahan api roket.
Terkini, nama anak muda berusia 16 tahun itu kembali menjadi sebutan ramai apabila diangkat sebagai 'genius' dalam bidang pengekodan, pengaturcaraan dan kejuruteraan pada usia muda.
Seperti kata seorang individu dikenali Mazlan Syafie di Facebook:
"Ketika rakan sebaya sibuk dengan permainan video atau media sosial, Khawarizmi sedang sibuk menulis kod pengaturcaraan untuk sektor pertahanan negara.
Ya, dia terlibat membangunkan perisian berkaitan ketenteraan. Ini dilakukan melalui usahasama dengan syarikat tempatan yang arif dalam teknologi keselamatan dan pertahanan.
Dia diberi peranan sebagai Embedded dan XR Developer. Malah, dia juga terlibat dengan syarikat berkaitan telekomunikasi satelit. Di sini, dia memegang peranan penting sebagai Embedded Programmer (Retainer).
Ini kerja orang dewasa. Ini kerja jurutera bertauliah. Namun, tugas berat ini dipikul oleh seorang remaja Tingkatan Empat," maklumnya di media sosial itu.
Sementara itu, tinjauan Sinar Bestari di beberapa platform media sosial mendapati rekod pencapaian Muhammad Khawarizmi juga tidak kurang hebatnya.
Beliau telah memenangi pelbagai pertandingan dan anugerah, termasuk johan Kebangsaan MYRC 2024, Ikon STEM Kids Malaysia Techlympics anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan banyak lagi pengiktirafan lain sekali gus membuktikan kepandaiannya bukan sekadar teori, tetapi praktikal dan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, bapanya berkata, minat anak sulung terhadap bidang teknikal telah dikesan sejak umur 10 tahun.
"Minat mendalam terhadap perkara teknikal bukan sekadar teori, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dan inisiatif sendiri.
"Salah satu detik yang membuka mata ialah ketika Muhammad Khawarizmi menghadiri bengkel 'Keterujaan STEM melalui Model Rocketry dan 3D Printing', di mana dia sukarela membantu peserta lain memahami perisian Autodesk Fusion 360, meskipun usianya jauh lebih muda daripada mereka," kata beliau dipetik portal tempatan.
Anak muda berbakat ini kini menyimpan cita-cita besar untuk mendalami teknologi pertahanan dan bercita-cita melanjutkan pengajian di Jerman.
Justeru, kami di Sinar Bestari mendoakan agar segala impian dan cita-cita Muhammad Khawarizmi tercapai dan beliau terus menjadi inspirasi kepada remaja Malaysia untuk berani bermimpi dan merealisasikan potensi diri.