Pelajar tahfiz Kelantan tamat ujian syahadah 30 juzuk dalam masa 18 jam tanpa kesalahan

Iklan
Ahmad Fikri

Pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisyam, 16, disifatkan cukup luar biasa dan hebat apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 jam tanpa sebarang kesalahan.

Ia sekali gus membolehkan anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Limau Kasturi, Gua Musang itu menerima pangkat Mumtaz semasa memperdengarkan bacaan hafazannya.

Iklan
Iklan

Ahmad Fikri memperdengarkan bacaan hafazannya itu bermula dari jam 5.30 pagi hingga 11 malam dalam masa sehari pada Ahad lalu di hadapan enam panel terdiri daripada guru tahfiz dan hanya berehat untuk makan serta solat.

Pengetua MTM, Najmuddin Abdullah berkata, apa yang dilakukan Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana kebiasaannya seorang pelajar tahfiz akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan Syahadah 30 juzuk al-Quran.

Iklan

Ahmad Fikri (tiga dari kanan) bersama ibu bapanya tidak dapat menahan sebak semasa menerima penghargaan daripada Najmuddin (dua, kiri) semasa Majlis Khatam Syahadah al-Quran 30 juzuk.

"Kalau ikut kebiasaan pelajar akan buat 10 juzuk sehari, tapi Ahmad Fikri hanya ambil masa 18 jam dalam masa sehari.

Iklan

"Perkara ini dilakukan atas permintaan dia (Ahmad Fikri) sendiri dan tiada paksaan mahupun tekanan daripada pihak sekolah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut beliau, ia menjadi satu sejarah semenjak aliran tahfiz diwujudkan sejak tahun 2010 di MTM yang sudah beroperasi selama 73 tahun itu.

Ujarnya, sepanjang 15 tahun aliran tahfiz di sekolah berkenaan, tiada pelajar tamat hafazan 30 juzuk, yang ada hanya 15 juzuk.

Najmuddin memberitahu, ini kerana MTM cuma maahad biasa dan hanya mewujudkan satu kelas aliran tahfiz selepas ia dicetuskan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor juga merangkap Speaker Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Ahmad Fikri (duduk, tengah) bersama tenaga pengajar MTM.

"Jika diikutkan pada sukatan, pelajar hanya wajib menghafal tiga juzuk setahun iaitu bermula dari Tingkatan Satu hingga Lima.

"Jadi apabila tamat pengajian mereka hanya boleh habiskan 15 juzuk al-Quran, tapi Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk semasa di Tingkatan Tiga serta melakukan Syahadah pada Tingkatan Empat," katanya.

Menurut beliau, Ahmad Fikri merupakan anak kepada pasangan Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Ujarnya, majlis khas untuk meraikan Ahmad Fikri akan diadakan tahun hadapan pada sesi pembukaan persekolahan baharu.