UM bina inspirasi robotik murid luar bandar melalui Roboskool

Iklan
Gelagat murid yang tekun melaksanakan setiap modul semasa program.

Seramai 50 orang murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dari 10 buah sekolah luar bandar seluruh Melaka hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas, Melaka baru-baru ini bersama satu matlamat, iaitu menyertai program Roboskool: Innovation Through STEM.

Program berimpak tinggi itu merupakan inisiatif Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Roboshop Sdn Bhd, serta dibiayai penuh melalui dana Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares).

Iklan
Iklan

Program ini bukan sekadar tentang pengaturcaraan atau robotik semata-mata. Ia merupakan satu usaha untuk menjadikan teknologi sebagai sesuatu yang boleh disentuh, difahami dan mungkin dimiliki walaupun oleh murid-murid dari kawasan luar bandar.

“Program berasaskan inovasi ini sebenarnya mempunyai objektif serampang dua mata. Bukan sahaja kita ingin mendedahkan teknik pengaturcaraan robotik yang mudah kepada murid sekolah luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dari segi kebolehan untuk menyerlahkan idea-idea inovatif, tetapi lebih besar dari itu.

Iklan

"Kita mahua membuka mata mahasiswa UM terhadap program sukarelawan alternatif yang boleh dilaksanakan bersama komuniti,” jelas Pengetua Kolej Kediaman Ibnu Sina (KK6) UM, Profesor Ir Dr Nahrizul Adib Kadri yang turut hadir sepanjang program berlangsung.

Fawwaz berinteraksi dengan peserta program.

Iklan

Kata Nahrizul lagi, dengan pendekatan yang praktikal, setiap murid dibimbing untuk memahami asas pengaturcaraan mikrokomputer menggunakan platform yang sangat mesra pengguna.

"Mereka bukan sahaja menulis kod, malah melihat hasilnya secara langsung melalui pemasangan penderia (sensor), lampu LED, dan komponen robotik lain yang tersedia di meja masing-masing," ujarnya.

Nahrizul (duduk, tiga dari kanan) bersama murid-murid dan tetamu di penghujung program.

Sementara itu, mahasiswa tahun akhir Akademi Pengajian Islam UM, Wan Mohamed Fawwaz Wan Farid yang bertindak sebagai penceramah utama program, mengakui teruja dengan sambutan yang diterima.

“Pada mulanya saya menyangka sambutan mungkin agak perlahan, memandangkan mereka merupakan murid sekolah luar bandar yang pertama kali menyentuh sebuah papan mikrokomputer. Namun saya tersilap, kerana sambutan bukan sahaja menggalakkan, malah saya melihat progres yang paling pantas untuk sebuah program sehari seperti ini walaupun jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah di bandar.

"Suasana program kali ini dipenuhi dengan keterujaan. Ada yang pada mulanya ragu-ragu untuk menaip kod, akhirnya yakin memeriksa output sendiri. Ada juga yang tidak sabar menunjukkan hasil kepada rakan sebelah,” katanya sambil tersenyum.

Berbeza dengan pendekatan konvensional yang sering menjadikan teknologi sebagai sesuatu yang rumit dan digambarkan seolah-olah sebuah bidang khusus hanya untuk golongan terpelajar, Roboskool membawakan konsep pembelajaran berasaskan keseronokan dan penerokaan.

Setiap murid dibekalkan dengan satu set kit pengaturcaraan yang mengandungi sebuah papan mikrokomputer berserta aksesori yang diperlukan, yang boleh dibawa pulang setelah tamat program.

Setiap kumpulan juga dibekalkan dengan sebuah komputer riba bagi kegunaan mengaturcara menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh Roboshop sendiri.

Dengan bantuan fasilitator dalam kalangan mahasiswa UM dari Kolej Kediaman Ibnu Sina, murid-murid bukan sahaja diajar secara teknikal mengenai asas pengaturcaraan dan kod tetapi juga diberi semangat dan keyakinan untuk mencuba, supaya tidak berasa takut apabila membuat kesalahan.

Lebih daripada sekadar program aturcara sehari, program ini menjadi titik tolak bagi lebih banyak lagi benih minat dan keyakinan diri untuk dicambahkan.

Beberapa guru pengiring menyuarakan hasrat untuk membawa semangat ini kembali ke sekolah masing-masing, agar murid terus terdedah dengan teknologi moden secara progresif.

“Saya mahu murid-murid di sekolah luar bandar ini juga merasakan yang mereka sebenarnya mampu bersaing dengan sesiapa sahaja, asalkan ada idea dan minat. Kerana teknologi sepatutnya menyatukan, bukan memisahkan. Pendidikan, seperti yang ditunjukkan oleh Roboskool, bukan hanya berlaku di bilik darjah, tetapi di mana sahaja kita ada keinginan dan keberanian untuk mencuba,” kata Nahrizul mengakhiri temu bual.