Pada 26 Disember lalu, media sosial dipenuhi dengan berita gembira mengenai pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi 2026.
Kegembiraan bukan sahaja dirasai oleh pelajar, malah ibu bapa turut berkongsi perasaan bangga dan teruja melihat anak mereka melangkah ke sekolah pilihan impian.
Namun, di sebalik sorakan gembira itu, jangan dilupakan mereka yang belum berjaya mendapat tempat di Sekolah Khusus yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
Ada yang menangis, termasuk ibu bapa kerana impian tidak kesampaian.
Tetapi realitinya, kegagalan ke Sekolah Khusus atau MRSM bukanlah penamat. Peluang masih terbuka di sekolah harian iaitu institusi yang sering dipandang remeh, tetapi sebenarnya mampu menghasilkan pelajar cemerlang jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.
Sinar Bestari tertarik dengan pandangan seorang individu dalam grup komuniti di Facebook, yang menekankan bahawa ibu bapa tidak perlu kecewa jika anak meneruskan persekolahan di sekolah harian.
"Ibu bapa tidak perlu merasa kecewa apabila anak meneruskan persekolahan di sekolah harian. Hakikat sistem pengambilan semasa ke SBP yang memberi keutamaan kepada faktor sosioekonomi (B40) secara tidak langsung menyebabkan ramai pelajar cemerlang ditempatkan di sekolah harian.
Ini bukan kelemahan, sebaliknya satu kelebihan yang jarang disedari. Apabila pelajar-pelajar cemerlang berkumpul di sekolah harian, persekitaran pembelajaran menjadi lebih kompetitif, matang dan mencabar. Keadaan ini memudahkan guru membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah murid kerana asas pelajar sudah kukuh.
Tanpa perlu melalui pelbagai ujian kemasukan, saringan tambahan atau tekanan peperiksaan khas, anak-anak di sekolah harian secara automatik berada dalam sistem pendidikan yang stabil dan berkualiti. Mereka mempunyai ruang yang lebih luas untuk:
1) Menyerlah dalam akademik
2) Memimpin dalam kokurikulum
3) Berkembang dengan sokongan keluarga yang berterusan
Dari segi kualiti pengajaran pula, guru-guru sekolah harian adalah setara dari sudut latihan dan profesionalisme dengan guru di sekolah berasrama. Bezanya hanyalah struktur sekolah, bukan kualiti pendidik.
Kesimpulannya, penempatan pelajar cemerlang di sekolah harian bukan satu kerugian, tetapi realiti sistem semasa yang sebenarnya membuka peluang besar.
Ibu bapa wajar berbangga, kerana sekolah harian hari ini turut menjadi medan kecemerlangan tanpa tekanan saringan berlapis.
Yang penting, keyakinan ibu bapa dan sokongan berterusan akan menentukan sejauh mana potensi anak berkembang, tidak kira di sekolah mana mereka berada," kongsinya.
Menerusi pendapat beliau, jelaslah bahawa sekolah harian juga mampu mencipta kejayaan cemerlang, membuktikan bahawa kecemerlangan tidak bergantung kepada nama sekolah, tetapi pada usaha, motivasi dan sokongan keluarga.