Welcome Back to the School 2026 disifatkan sebagai inisiatif yang sangat baik kerana memberi peluang kepada murid Orang Asli untuk memulakan sesi persekolahan dalam suasana lebih positif, menyeronokkan dan bersemangat.
Menurut Pengarah Urusan Arena Prestige Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin, program itu menunjukkan kepedulian terhadap pembangunan dan ruang kepada murid Orang Asli untuk berkembang seiring dengan rakan-rakan mereka dari latar belakang lain.
"Usaha yang dilakukan Sinar Bestari ini amat bagus kerana ia bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada mereka, malah mencerminkan keprihatinan terhadap membina potensi dan kemahiran murid secara menyeluruh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa program seperti itu amat penting untuk diteruskan pada masa hadapan.
"Saya berharap inisiatif seumpama ini diteruskan kerana ia memberi kesan langsung terhadap motivasi dan keyakinan diri, selain mendorong mereka berusaha mengejar impian serta membina masa depan yang gemilang," tambahnya.
Amirul Syafiq yang menaja 100 set alat tulis khas menyatakan sumbangan itu diharap bukan sahaja menceriakan murid Orang Asli tetapi juga menjadi galakan supaya mereka lebih bersemangat hadir ke sekolah.