Soal beban guru, keciciran murid dan jurang pendidikan bukan lagi isu baharu, namun pendekatan terbaharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi gambaran jelas bahawa anak-anak dan pendidik kini berada di barisan hadapan perancangan pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merupakan tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan setiap dasar dan inisiatif pendidikan di peringkat sekolah.
Menurut beliau, kekuatan pelaksanaan di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap perancangan yang digubal benar-benar memberi kesan kepada sekolah, guru dan murid.
Fadhlina yang menjadi panel bagi Forum Pendidikan Negara: Memacu Lonjakan Pendidikan Negara 2026-2035 berkata, KPM komited untuk melindungi kebajikan guru serta mengurangkan beban tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran. Namun, dalam masa sama, pengurangan beban itu perlu disusuli dengan komitmen guru untuk terus meningkatkan profesionalisme dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid.
Beliau menegaskan bahawa keseluruhan perancangan pendidikan ketika ini dirangka dengan mengambil kira kepentingan anak-anak sebagai keutamaan utama, yang bakal menerima manfaat lebih besar daripada dasar dan langkah yang sedang digerakkan.
Dalam masa sama, Fadhlina mengakui KPM masih berdepan cabaran berkaitan keciciran murid, justeru beberapa perkara asas perlu diselesaikan termasuk soal akses pendidikan yang adil, meraikan kejayaan dari pelbagai sudut serta memastikan Dasar Pendidikan Wajib mencapai 99 peratus sepenuhnya.
Katanya, selepas keperluan asas itu diperkukuh, tumpuan akan diberikan kepada isu keciciran murid di sekolah menengah, khususnya, selain menangani keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli.
Beliau turut menyentuh isu kesenjangan pendidikan yang masih wujud, termasuk cabaran berkaitan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kekurangan peranti pembelajaran serta masalah capaian internet yang masih menjadi kekangan di beberapa kawasan.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa penglibatan ibu bapa dan komuniti amat penting bagi menjayakan agenda pendidikan negara, sambil menyeru semua pihak agar melihat perancangan ini sebagai tanggungjawab bersama.
Menurut beliau, ibu bapa digalakkan mendapatkan penjelasan yang tepat dan tidak hanya melihat usaha KPM dari sudut kritikan semata-mata kerana banyak perkara perlu diselesaikan dengan segera demi masa depan anak-anak.
“Perancangan ini bukan milik satu pihak sahaja, sebaliknya milik kita harus bersama-sama demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang lebih baik,” katanya.