Pelaksanaan Ujian Matrik bagi murid darjah 4 menunjukkan langkah proaktif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkukuh asas pembelajaran murid sekolah rendah.
Ujian ini menumpukan kepada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, membolehkan guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid lebih awal. Dengan itu, intervensi pembelajaran boleh dibuat sebelum murid melangkah ke darjah seterusnya, memastikan mereka tidak ketinggalan dalam penguasaan asas akademik.
Walaupun ada yang tertanya-tanya sama ada ini adalah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baharu, KPM menegaskan bahawa Ujian Matriks bukan pengganti UPSR. Ia dilaksanakan lebih awal (darjah 4) dan berfungsi sebagai alat diagnostik pembelajaran, manakala UPSR masih dalam kajian kemungkinan pengembalian pada masa depan.
Reaksi positif daripada guru dan ibu bapa di media sosial menunjukkan sokongan terhadap pendekatan penilaian ini. Mereka melihat ujian awal berkenaan sebagai peluang merancang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih fokus, memupuk kefahaman konsep, dan menggalakkan kerjasama erat antara sekolah dan keluarga.
Dalam pada itu, pemerhati pendidikan berkata, langkah ini sejajar dengan usaha KPM memastikan sistem pendidikan lebih bersasar dan terancang, seiring dengan matlamat pembangunan murid abad ke-21.
“Ujian Matrik memberi gambaran awal tentang tahap penguasaan murid. Ia bukan UPSR baharu, tetapi satu usaha penting untuk memastikan asas pembelajaran kukuh,” katanya yang juga seorang guru.
Dengan pelaksanaan ujian ini, murid diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan sejak awal, dan guru serta ibu bapa boleh bertindak proaktif untuk meningkatkan pencapaian akademik.