Usaha memperkasa literasi komunikasi dalam kalangan murid luar bandar terus diperkukuh apabila pelajar Perhubungan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor melalui agensi pelajar, PRhythm Agency, menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR Cilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.
Program bertemakan 'Suara Kecil, Impak Besar' ini melibatkan 103 murid dengan objektif memberi pendedahan awal terhadap dunia komunikasi dan media melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang interaktif, kreatif dan menyeronokkan.
Dalam program itu, pelbagai aktiviti hands-on telah diketengahkan termasuk Pembaca Berita Cilik, DJ Cilik, Junior Reporter serta permainan berasaskan komunikasi dan kerjasama seperti Menara Pintar, Radio Rosak dan Lompat, Pusing, Fokus! yang dirangka khusus untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan, kreativiti serta pemikiran kritikal murid.
Menurut Penasihat Program PR Cilik, Abuzar Abdul Halim, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya satu platform pembelajaran bermakna yang memberi ruang kepada murid untuk berani mencuba dan mengekspresikan idea mereka.
"Program memberi peluang kepada anak-anak pelajar untuk belajar berkomunikasi dengan lebih yakin, berani bercakap di hadapan orang ramai serta mencuba perkara baharu melalui aktiviti yang menyeronokkan," katanya.
Guru Besar SK Pulau Tuba, Razif Md Rashid pula menyifatkan penganjuran PR Cilik sebagai peluang berharga kepada murid luar bandar untuk membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah sejak usia muda.
"Aktiviti seperti Little News Anchor dan DJ Cilik bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu murid berani bersuara dan bercakap di hadapan khalayak, satu kemahiran penting untuk masa depan mereka," ujar beliau.
Ketua Program, Wan Safiah Abdullah Sani menjelaskan bahawa PR Cilik dirangka oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM sebagai usaha menghubungkan ilmu universiti dengan keperluan komuniti sebenar.
"Tema 'Suara Kecil, Impak Besar' membawa mesej bahawa idea dan suara murid, walaupun kecil, mampu mencetus perubahan positif apabila digunakan dengan cara yang betul," katanya.
Selain memberi manfaat kepada komuniti Pulau Tuba, program tersebut turut menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu perhubungan awam, pengurusan acara dan komunikasi strategik dalam situasi sebenar, di samping membina kemahiran kepimpinan, empati dan kerja berpasukan.
Sementara itu, penganjuran PR Cilik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan memperluas akses pembelajaran tidak formal kepada komuniti yang mempunyai pendedahan terhad terhadap dunia komunikasi dan media.
Dengan sambutan positif daripada pihak sekolah dan komuniti setempat, PR Cilik membuktikan bahawa pendidikan komunikasi boleh disampaikan secara kreatif dan inklusif, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan komuniti dan pembelajaran abad ke-21.