Pendidikan masa kini: Pintar berfikir atau sekadar lulus?

Iklan

Dalam era di mana sistem pendidikan semakin mendapat perhatian kerajaan, masyarakat dan pendidik, timbul perdebatan sama ada pendidikan masa kini benar-benar mampu membina kebolehan pelajar untuk berfikir secara pintar dan kritis atau sekadar melahirkan pelajar yang berkeupayaan lulus peperiksaan dengan markah yang tinggi.

Isu ini bukan sahaja relevan kepada pelajar, malah memberi kesan yang besar terhadap kualiti graduan serta daya saing negara dalam jangka masa panjang.

Iklan
Iklan

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, prinsip ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan insan secara holistik, khususnya dari aspek intelek dan pemikiran.

Undang-Undang Pendidikan 1995 turut memperincikan bahawa pendidikan bertujuan untuk mengembangkan daya intelek, kreativiti dan pemikiran kritis pelajar, bukan sekadar penguasaan fakta untuk tujuan peperiksaan semata-mata.

Iklan

Namun demikian, pelaksanaan prinsip ini masih menimbulkan persoalan dari segi keberkesanannya di peringkat praktikal.

Realitinya, masih wujud jurang ketara antara dasar pendidikan dan pelaksanaannya di bilik darjah.

Iklan

Prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA), khususnya dalam kemahiran bacaan dan kefahaman, menunjukkan bahawa walaupun pelajar mampu mencapai keputusan peperiksaan yang baik namun tahap kemahiran berfikir aras tinggi masih berada pada tahap yang kurang memberangsangkan.

Situasi ini mencerminkan kecenderungan sistem pendidikan yang lebih menekankan pencapaian gred berbanding pemahaman mendalam.

Menurut Forum Ekonomi Dunia (2020), menunjukkan bahawa kemahiran berfikir aras tinggi dan kritis merupakan antara keupayaan utama yang dikehendaki oleh majikan dan syarikat dalam pasaran kerja semasa.

Kemahiran ini membolehkan graduan menilai maklumat secara rasional, menyelesaikan masalah yang kompleks dan membuat keputusan berasaskan bukti.

Dalam konteks ini, keupayaan berfikir menjadi aset penting yang menentukan kebolehpasaran graduan, bukan semata-mata pencapaian akademik yang tinggi.

Namun, persoalan utama yang timbul ialah sama ada sistem pendidikan sedia ada benar-benar menyediakan ruang dan peluang untuk membangunkan kemahiran tersebut.

Dari sudut kurikulum dan pedagogi, kajian antarabangsa menegaskan bahawa kemahiran berfikir kritis tidak dapat dipupuk melalui kaedah pengajaran berasaskan hafalan semata-mata.

Sebaliknya, pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif seperti pembelajaran berasaskan penyelidikan, perbincangan kolaboratif dan aktiviti berfikir aras tinggi terbukti lebih berkesan dalam membentuk pemikiran mendalam pelajar.

Dalam pendidikan tinggi, pendekatan pengajaran memainkan peranan yang signifikan dalam mempengaruhi tahap kemahiran berfikir pelajar.

Sekiranya universiti dan pensyarah terlalu menumpukan kepada penyediaan pelajar untuk lulus peperiksaan, tanpa merangsang perbincangan kritikal dan aplikasi ilmu, graduan mungkin cemerlang dari segi akademik tetapi kurang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan realiti sosial yang kompleks.

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sistem pendidikan tidak seharusnya terikat kepada peperiksaan dan hafalan semata-mata, sebaliknya perlu memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir, berhujah dan menilai idea secara kritis.

Penekanan ini selari dengan keperluan melahirkan generasi yang mampu berfikir secara matang dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran masa depan. Walaupun dasar dan kajian tempatan jelas mengiktiraf kepentingan kemahiran berfikir, pelaksanaannya masih berdepan pelbagai cabaran.

Tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang sering mendorong budaya pembelajaran berorientasikan peperiksaan.

Kesannya, pelajar lebih cenderung menghafal teknik menjawab soalan berbanding memahami konsep atau mengaplikasikan ilmu dalam konteks sebenar.

Fenomena ini mewujudkan persepsi bahawa kejayaan akademik diukur melalui markah, bukan keupayaan berfikir secara kritis.

Manakala dari sudut teori pendidikan kognitif, kemahiran berfikir merujuk kepada keupayaan pelajar untuk menganalisis, menilai dan membuat keputusan secara rasional.

Pendekatan seperti penulisan reflektif dan kesedaran terhadap proses pemikiran mampu membantu pelajar bukan sahaja memahami kandungan pembelajaran, malah dapat memahami bagaimana cara mereka berfikir dan belajar.

Menurut tokoh pendidikan Deanna Kuhn, menegaskan bahawa pembelajaran yang efektif perlu melibatkan hujah, perdebatan dan pendedahan kepada pelbagai perspektif bagi membentuk pemikiran saintifik dan kritis.

Namun, penyelarasan pendekatan ini dalam sistem pendidikan Malaysia masih kurang konsisten.

Banyak pendidik masih bergantung kepada kaedah pengajaran tradisional yang kurang memberi ruang kepada aktiviti soal jawab, refleksi dan aplikasi ilmu. Keadaan ini mengehadkan potensi pelajar untuk berkembang sebagai pemikir yang berdikari dan analitikal.

Secara global, pendidikan abad ke-21 menekankan keperluan melengkapkan graduan dengan kemahiran berfikir aras tinggi bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, ekonomi dan sosial yang pesat.

Tanpa kemahiran ini, graduan berisiko menjadi individu yang cemerlang di atas kertas, tetapi lemah dalam menyelesaikan masalah sebenar.

Oleh itu, transformasi pendidikan memerlukan perubahan menyeluruh dalam budaya akademik.

Antaranya, pentaksiran berasaskan kemahiran berfikir, pelaksanaan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah, latihan pendidik dalam aktiviti pemikiran kritis, serta integrasi aplikasi dunia sebenar dalam kurikulum.

Kesimpulannya, sistem pendidikan masa kini merupakan matlamat penting antara melahirkan pelajar yang benar-benar pintar berfikir atau sekadar pelajar yang lulus peperiksaan.

Tanpa perubahan yang strategik dan berterusan, sistem pendidikan berisiko menghasilkan generasi yang cemerlang dari segi markah tetapi kurang bersedia menghadapi realiti dunia.

Pendidikan yang berkualiti seharusnya membina minda yang kritis, kreatif dan berdaya saing demi masa depan negara.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Emylai Ruslinda Mahaizan

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Jaharudin Padli