Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam revolusi mobiliti hijau global. Ketika dunia beralih kepada kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan pelepasan karbon dan pergantungan terhadap bahan api fosil, negara Malaysia juga giat berusaha dijadikan negara sebagai hab industri EV utama di Asia Tenggara.
Namun, di sebalik peluang besar yang terbentang, cabaran ekonomi dan infrastruktur masih menjadi ujian utama untuk direalisasikan.
Peluang Pelaburan dan Pertumbuhan Industri
Gelombang pelaburan asing yang semakin rancak membuktikan keyakinan kepada industri terhadap potensi Malaysia.
Antara yang paling menonjol ialah pengumuman BYD, pengeluar EV terkemuka dari China, yang bakal membina kilang pemasangan (CKD) bernilai tinggi di Tanjung Malim, Perak, dengan pengeluaran dijangka bermula pada tahun 2026.
Langkah ini menandakan kepercayaan terhadap keupayaan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan eksport EV untuk pasaran ASEAN (Reuters, 2025). Selain itu, pembinaan kilang pengeluaran bateri kereta EV bernilai RM3.2 bilion pada tahun 2025 menambahkan kekuatan kepada rantaian bekalan bateri tempatan.
Pembangunan ini bakal mengurangkan kebergantungan terhadap import komponen utama sekali gus menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam ekosistem pengeluaran EV (The Star, 2025).
Kelebihan sedia ada dalam sektor pembuatan automotif, kemahiran tenaga kerja tempatan, dan kedudukan geostrategik Malaysia di tengah-tengah laluan perdagangan Asia Tenggara turut menjadikan negara ini pilihan menarik bagi pelabur antarabangsa.
Cabaran Infrastruktur dan Persaingan Serantau
Namun, di sebalik momentum positif ini, Malaysia masih berdepan beberapa kekangan utama. Infrastruktur pengecasan awam yang masih belum mencukupi untuk menampung pertumbuhan EV yang pesat.
Menurut data MEVnet (2025), terdapat sekitar 4,100 pengecas awam di seluruh negara jauh daripada sasaran 10,000 unit menjelang tahun 2025.
Kekurangan liputan ini boleh menjejaskan keyakinan pengguna untuk beralih kepada kenderaan elektrik. Selain itu, persaingan serantau seperti negara Thailand dan Indonesia menawarkan pakej insentif pelaburan yang lebih agresif dengan masing-masing menumpukan kepada pemasangan EV dan pengeluaran bahan mentah bateri seperti nikel.
Malaysia perlu menonjolkan kelebihan tersendiri, seperti kestabilan politik, kecekapan logistik, dan dasar perdagangan terbuka, bagi memastikan daya saing yang berterusan. Kos tenaga dan kestabilan bekalan elektrik turut menjadi faktor penentu.
Pertambahan bilangan EV akan meningkatkan keperluan tenaga elektrik, sekali gus menuntut pelaburan dalam penjanaan boleh diperbaharui serta sistem pengecasan pintar untuk mengelakkan tekanan terhadap sistem tenaga negara.
Dasar Konsisten dan R&D Sebagai Kunci Kejayaan
Untuk merealisasikan menjadi hab EV di Asia Tenggara, Malaysia perlu melaksanakan dasar yang konsisten dan jangka panjang.
Kejelasan terhadap tempoh pengecualian cukai dan duti import, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), penting untuk meyakinkan pelabur agar menjadikan Malaysia sebagai pangkalan utama pengeluaran.
Pada masa sama, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan modal insan harus dipertingkat. Institusi pendidikan tinggi dan industri perlu bekerjasama dalam melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan elektrik, pengurusan bateri dan teknologi perisian automotif kemahiran yang amat diperlukan dalam ekosistem EV masa depan.
Menuju Masa Depan Mobiliti Teknologi Hijau
Transformasi industri EV bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga sebahagian daripada agenda kelestarian negara.
Dengan mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan awam di seluruh negara, memperkukuh rantaian bekalan bateri dan mengekalkan dasar pelaburan yang mesra industri, Malaysia mampu melonjak menjadi hab utama EV di Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Namun, kejayaan ini bergantung pada keupayaan semua pihak kerajaan, pelabur, industri, dan pengguna untuk bergerak seiring dalam memacu masa depan pengangkutan yang lebih bersih dan lestari. Jika momentum ini dapat dikekalkan,
'Gelombang EV' bukan sahaja akan mengubah landskap automotif negara, tetapi juga menjadikan Malaysia pilihan utama dalam ekonomi hijau serantau.
Maklumat penulis:
1. Pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Pengurusan (Polisi dan persekitaran Sosial), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Chea Zi Jian
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli