Mandat perlembagaan dan amanah ilmu: Menelusuri tadbir urus UiTM ke hadapan

Iklan
Gambar hiasan

Dalam sesebuah negara, universiti awam bukan sekadar institusi akademik, tetapi amanah nasional yang memikul tanggungjawab membina ilmu, membentuk insan dan mencorakkan masa depan masyarakat.

Kepercayaan yang diberikan kepada universiti lahir daripada keyakinan bahawa setiap keputusan, dasar dan tindakan digerakkan atas prinsip keadilan, kebijaksanaan dan tanggungjawab bersama. Universiti bukan sekadar ruang pengajaran dan pembelajaran.

Iklan
Iklan

Ia adalah institusi kepercayaan kepada ilmu, kepada insan dan kepada masa depan negara. Justeru, kekuatan sesebuah universiti tidak diukur semata-mata melalui pencapaian akademik atau penarafan global, tetapi melalui keupayaannya membina sistem tadbir urus yang adil, seimbang dan berteraskan amanah.

Amanat Naib Canselor UiTM 2026 digarap dalam kesedaran bahawa landskap pendidikan tinggi hari ini menuntut lebih daripada retorik pembaharuan. Ia menuntut keberanian untuk menilai struktur, memperkemas proses dan menginstitusikan nilai.

Iklan

Dalam konteks ini, UiTM berpandangan bahawa tadbir urus yang baik dan mekanisme semak dan imbang bukan sekadar keperluan pentadbiran, tetapi prasyarat kepada kebebasan akademik, kematangan pelajar dan kelestarian institusi.

Tadbir urus sebagai sistem, bukan personaliti

Iklan

UiTM menginsafi bahawa reformasi yang bergantung kepada individu semata-mata adalah rapuh. Justeru, pendekatan universiti hari ini adalah memperkukuh sistem dan institusi, agar kelestarian tadbir urus tidak bergantung kepada individu semata-mata, tetapi dipacu oleh prinsip, struktur dan akauntabiliti yang jelas.

Melalui Teras Impak: Tadbir Urus Tangkas dan Integriti, UiTM menegaskan keperluan penjajaran semula organisasi, kejelasan akauntabiliti serta pengurangan kawalan berlebihan yang boleh melambatkan keputusan dan melemahkan keupayaan institusi untuk bertindak secara cekap.

Dalam mengurus universiti berskala besar dengan hampir 200,000 pelajar dan lebih 19,000 warga kerja, UiTM memilih pendekatan berasaskan kepercayaan dan kebersamaan.

Kuasa perlu diimbangi dengan tanggungjawab, dan autoriti perlu disertai mekanisme semakan yang jelas, telus dan berfungsi.

Atas prinsip ini, UiTM memperkukuh peranan Jabatan Undang-Undang, Bahagian Audit Dalam, Bahagian Integriti dan Pusat Pengurusan Risiko sebagai rantaian semak dan imbang institusi.

Penubuhan Ombudsman UiTM yang dirancang selari dengan inisiatif Ombudsman Malaysia mencerminkan kesediaan universiti untuk membuka ruang semakan bebas dan beretika terhadap urusan pentadbiran.

Peranan senat, wibawa akademik dan suara mahasiswa

Sebagai universiti berteraskan ilmu, UiTM menegaskan bahawa wibawa akademik mesti dipandu oleh struktur akademik yang sah. Senat terus berfungsi sebagai wahana utama perbincangan dan keputusan akademik, selaras dengan prinsip autonomi profesional dan integriti keilmuan.

Dalam semangat pembaharuan berfasa, UiTM melaksanakan langkah-langkah inklusif dengan membuka ruang keterlibatan pelajar dalam wacana akademik universiti.

Sehubungan itu, UiTM telah melantik dua wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Ahli Ko-opt dalam Mesyuarat Senat, berperanan sebagai suara mahasiswa UiTM yang sah dan mewakili pandangan keseluruhan siswa universiti, yang mana pemilihan mereka diurus sepenuhnya oleh siswa sendiri melalui proses demokratik dan bebas.

Pelantikan ini bertujuan memupuk kefahaman bersama, memperkukuh budaya dialog berasaskan ilmu, serta menanam rasa tanggungjawab kolektif dalam kalangan mahasiswa terhadap proses pembuatan keputusan universiti.

Inisiatif kesejahteraan seperti Dapur Hal Ehwal Pelajar, sokongan zakat dan wakaf melalui ZAWAF, serta agenda kesihatan mental dan literasi media menunjukkan bahawa UiTM melihat pemerkasaan pelajar sebagai ekosistem menyeluruh bukan sekadar isu disiplin atau penyertaan pelajar semata-mata.

Pemerkasaan mahasiswa berlandaskan undang-undang

Seiring dengan pindaan terkini Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang terpakai kepada universiti awam lain, UiTM turut memperkukuh agenda pemerkasaan mahasiswa melalui kerangka perundangannya sendiri di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173], dengan sokongan dan kelulusan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai punca kuasa tadbir urus tertinggi universiti.

Pendekatan ini memastikan autonomi pelajar diperkasakan secara berperingkat, berstruktur dan berlandaskan undang-undang, selaras dengan prinsip bahawa kebebasan tanpa sistem hanya akan melahirkan ketidakpastian, manakala kebebasan yang disokong oleh struktur, peraturan dan akauntabiliti akan membina kematangan serta tanggungjawab yang berterusan.

Amanah, nilai dan model BUDI

Dalam mengemudi institusi sebesar UiTM, kepimpinan bukan sekadar soal kecekapan pentadbiran, tetapi amanah nilai yang menuntut keseimbangan antara kuasa dan tanggungjawab. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah untuk mendekatkan diri kepada-Nya serta berjuanglah pada jalan-Nya, agar kamu beroleh kejayaan.”

(Surah al-Mā’idah: 35)

Ayat ini menjadi asas kepada Model BUDI UiTM yang berteraskan akal budi, hati budi dan budi pekerti. Akal budi membimbing keputusan yang rasional dan berilmu; hati budi membentuk niat, empati dan keikhlasan; manakala budi pekerti dizahirkan melalui tindakan yang berintegriti dan beradab.

Apabila ketiga-tiganya bergerak seiring, kerja menjadi amanah dan ibadah, tadbir urus menjadi tanggungjawab bersama, dan kejayaan melahirkan keberkatan serta kepercayaan yang berpanjangan terhadap institusi.

Amanat sebagai iltizam, bukan retorik

Amanat Naib Canselor 2026 bukan jawapan kepada mana-mana pihak, tetapi cerminan iltizam UiTM terhadap pembinaan institusi yang berintegriti dan berdaya tahan. UiTM tidak menolak perbincangan kritikal mengenai struktur, kebebasan akademik dan tadbir urus.

Sebaliknya, universiti melihat wacana ini sebagai tanda kematangan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Namun UiTM teguh berdiri berlandaskan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173], khususnya Seksyen 1A, serta Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas perundangan dan mandat negara kepada penubuhan serta kelangsungan universiti ini.

Mandat ini bukan bersifat retorik, tetapi suatu amanah perlembagaan yang memperuntukkan peranan UiTM dalam memperkasa pendidikan tinggi Bumiputera secara berstruktur, sah dan berterusan.

Berteraskan kerangka ini, UiTM digerakkan oleh visi sebagai universiti unggul pemacu Bumiputera Profesional, dan dalam melaksanakannya, universiti wajib beroperasi secara berprinsip, berintegriti dan mematuhi undang-undang, sambil memastikan tadbir urus yang seimbang, telus dan berakauntabiliti.

Keteguhan kepada peruntukan perlembagaan dan undang-undang inilah yang membolehkan UiTM kekal tenang, bersatu dan konsisten mempertahankan ilmu serta nilai sebagai benteng harapan anak bangsa, selari dengan aspirasi negara dan keluhuran Perlembagaan.

Pendekatan ini diperkukuh secara bersistem melalui pemakaian serta pemwartaan Kaedah-Kaedah bagi Pihak Berkuasa di Universiti Teknologi MARA, yang memperjelas bidang kuasa, peranan dan tanggungjawab setiap entiti tadbir urus universiti.

Bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang institusi, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) memainkan peranan strategik melalui penubuhan dan pemerkasaan jawatankuasa di peringkat LPU, termasuk Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko, di samping fungsi pengawasan yang disokong oleh Bahagian Audit Dalam, Bahagian Integriti dan Bahagian Pengurusan Risiko, yang melapor secara langsung kepada LPU.

Rangka kerja ini memastikan setiap keputusan strategik, kewangan dan pengurusan risiko universiti dinilai secara bebas dan bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, LPU turut melantik tiga (3) Ahli Senat Bebas yang dicalonkan oleh Majlis Profesor Universiti (MPU) bagi memperkukuh peranan MPU sebagai satu lagi lapisan semak dan imbang dalam Senat.

Peranan ini diperkasakan lagi dengan penglibatan persatuan dan kesatuan warga universiti yang dijemput menghadiri Mesyuarat Senat serta terlibat dalam proses temu duga pelantikan Dekan dan ketua akademik sekali gus memastikan keputusan kepimpinan akademik dibuat secara kolektif, telus dan berteraskan merit.

Keteguhan kepada peruntukan perlembagaan, undang-undang serta ekosistem semak dan imbang yang bersistem inilah yang membolehkan UiTM kekal tenang, bersatu dan konsisten mempertahankan ilmu serta nilai sebagai benteng harapan anak bangsa, selari dengan aspirasi negara dan keluhuran Perlembagaan.

Penutup

Halatuju boleh berubah mengikut zaman, namun institusi dibina melalui konsistensi nilai dan keteguhan prinsip.

Dalam melangkah ke UiTM2030, Universiti Teknologi MARA kekal berpegang teguh kepada amanah penubuhannya membina insan berilmu, beradab dan bertanggungjawab melalui sistem tadbir urus yang adil, seimbang dan diyakini.

Berteraskan mandat perlembagaan dan aspirasi nasional, UiTM terus digerakkan oleh visinya sebagai universiti unggul pemacu Bumiputera Profesional, yang berperanan memperkasa mobiliti sosial, kepimpinan intelektual dan kemakmuran negara secara mampan.

Selagi UiTM berdiri atas ilmu, integriti dan kepercayaan, universiti ini akan terus menjadi benteng harapan anak bangsa bukan sahaja untuk hari ini, tetapi bagi dekad-dekad yang mendatang, insya-Allah.

Maklumat penulis

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin