Sembilan calon STPM dipindahkan dari kawasan banjir

Iklan
Antara pelajar yang dipindahkan keluar dari kawasan masing-masing untuk dibawa ke sekolah oleh anggota APM.

Sejumlah sembilan pelajar calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dipindahkan dari kawasan terjejas banjir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu, pada Ahad.

Operasi pemindahan kesemua pelajar Tingkatan Enam itu dilaksanakan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas mereka berdepan kesukaran untuk keluar dari kediaman masing-masing berikutan paras air yang meningkat dan menjejaskan laluan utama.

Iklan
Iklan

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Lt (PA) Bakrin Samsuddin berkata, tindakan segera diambil bagi memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dengan selamat tanpa berdepan risiko.

"Pemindahan dilakukan menggunakan kenderaan jabatan dengan kaedah yang selamat dan terkawal. Operasi berjalan lancar hasil kerjasama anggota bertugas yang mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar sepanjang proses tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, bantuan itu penting bagi memastikan pelajar tidak tercicir daripada sesi pembelajaran dan persediaan menghadapi peperiksaan penting itu.

"Selain menjamin keselamatan, tindakan ini turut memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa dalam situasi bencana," katanya.

Iklan

Tambahnya, kesiapsiagaan pasukan penyelamat memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara walaupun berdepan cabaran bencana alam.